Polis tahan 4 warga asing bantu siasatan kes kelar, tetak wanita di ladang kelapa sawit


  • 112
  • Selasa, 26 Dis 2023

Lokasi mayat wanita warga Filipina ditemui ketika kejadian. — PDRM

POLIS menahan empat warga asing selepas mayat seorang wanita warga Filipina dengan kesan kecederaan ditemui ahli keluarga mangsa di sebuah ladang di Beaufort, kira-kira 100 kilometer dari Kota Kinabalu, Sabah pada Isnin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Ismail Abdullah berkata, tiga lelaki dan seorang wanita berusia 30 dan 40 tahun ditahan bagi membantu siasatan berhubung kematian mangsa berusia 43 tahun, yang merupakan pekerja ladang.

Keempat-empat suspek dilaporkan telah direman bagi membantu siasatan namun motif pembunuhan masih belum dapat dipastikan polis setakat ini.

"Mayat ditemui dengan pelbagai kesan tikaman dan tetakan termasuk di dahi, kesan kelar di leher dan sebelah tangan yang hampir putus.

"Kami masih mencari lagi suspek dalam kes tersebut," katanya pada Selasa.

Ismail berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai hilang selepas keluar ladang sawit di mana tempatnya bekerja.

Manakala suami mangsa dikatakan kemudian mencari isterinya sebelum menemui seluar hitam milik mangsa di tempat kerja suaminya iaitu di ladang sawit yang sama.

Katanya lagi, ahli keluarga juga berusaha mencari mangsa di sekitar lokasi kejadian sebelum menemui mayat mangsa dalam belukar berhampiran.

"Susulan itu, usaha mengesan suspek lain sedang giat dijalankan dengan bantuan Unit Siasatan Khas (D9), Unit Anjing Pengesan (K9) dan Unit Forensik IPK Sabah," katanya. — The Star/MUGUNTAN VANAR

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram