[VIDEO] Tetak mati ibu saudara, operator kilang didakwa di hospital


Tangkap layar kes kematian membabitkan seorang wanita yang maut ditetak suspek lelaki di Jalan Raja Uda, Butterworth, Pulau Pinang pada Selasa lalu.

SEORANG operator kilang pada Jumaat didakwa di katil Hospital Pulau Pinang (HPP) atas tuduhan membunuh seorang wanita pada Selasa lepas.

Ong Kok Bu, 29, dari Taman Seri Pinang, Butterworth, Pulau Pinang mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majisret Siti Zulaika Nordin @ Ghandi dari Mahkamah Majistret Butterworth.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

BACA LAGI : [VIDEO] Wanita maut ditetak dipercayai angkara kes cemburu di Butterworth

BACA LAGI : [VIDEO] Tiga kes bunuh bermotifkan cemburu buat rakyat Malaysia cukup 'triggered'

Ong yang ditempatkan di wad ortopedik HPP telah dihantar ke hospital itu untuk menerima rawatan selepas bertindak terjun ke laut dari Jambatan Pulau Pinang sejurus selepas dikatakan melakukan perbuatan itu pada Selasa lepas.

Ong didakwa membunuh Lee Yen Suan, 42, di hadapan sebuah kedai di Jalan Taman Sin Tat, Butterworth kira-kira pukul 10.55 pagi pada 19 Disember lepas.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara selama tempoh tidak lebih 40 tahun dan sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurameera Shahrul Azrin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Siti Zulaika menetapkan 25 Mac depan untuk sebutan semula kes. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram