Kes bunuh Sungai Choh: Polis siasat kaitan video bogel dengan punca pergaduhan


  • 112
  • Isnin, 25 Dis 2023

Lima suspek ditahan susulan kes pembunuhan mayat yang ditanam di Sungai Choh, Rawang, Sabtu lalu.

LIMA lagi suspek ditahan oleh pihak polis bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang lelaki yang mayatnya ditanam di belakang rumah di Sungai Choh, Rawang, Sabtu lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, hasil bedah siasat mendapati ada kesan cedera luka dan lebam di kepala dan seluruh badan mangsa.

Noor Ariffin berkata, dengan tangkapan terbaharu itu, jumlah yang ditahan kini seramai lapan orang.

Jelasnya, tiga suspek iaitu dua wanita dan seorang lelaki ditahan di apartmen Desa Aman Puri pada pukul 4.40 petang Ahad.

Tangkapan seterusnya membabitkan seorang lelaki di Bandar Puncak Alam kira-kira pukul 6.15 petang Ahad manakala seorang lagi lelaki ditahan di Sungai Choh pukul 11 malam Ahad.

Kesemua suspek berkenaan direman tujuh hari bagi membantu siasatan dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Siasatan juga mendapati teman wanita mangsa tiada kaitan dengan kes berkenaan dan dakwaan kononnya kes melibatkan video bogel juga tidak benar dengan pihak polis masih menjalankan siasatan terhadapnya.

Menurut Noor Ariffin lagi, setakat ini punca kematian mangsa belum disahkan sementara menunggu ujian makmal.

Dalam kejadian Sabtu lalu, mayat seorang lelaki ditemukan ditanam di dalam lubang di belukar belakang rumahnya di Sungai Choh.

Motif kejadian dipercayai berpunca dari perselisihan faham antara mangsa dan salah seorang suspek. — The Star/ Justin Zack

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram