Suami bunuh isteri guna dumbel didakwa di mahkamah


Izzat Saat (kiri) ketika didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor pada Khamis atas pertuduhan membunuh isterinya menggunakan dumbel. — Bernama

SEORANG lelaki dipercayai memukul isterinya dengan dumbel dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor pada Khamis atas pertuduhan membunuh wanita itu.

Izzat Saat, 38, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dan tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada lelaki itu kerana kes bunuh berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Izzat didakwa menyebabkan kematian Nurul Qurraisyia Zulkafli, 33, di sebuah rumah di Jalan Congkak Seksyen 32, Shah Alam kira-kira pukul 10.30 malam pada 14 Disember hingga 10.30 pagi pada 16 Disember lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara selama tempoh tidak lebih 40 tahun dan sebatan tidak kurang 12 kali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Saidah Fasihah Che Yussoff manakala tertuduh diwakili peguam Rezal Mazli Abdul Muin.

Majistret Farah Rosnan menetapkan 19 Februari 2024 tahun depan untuk sebutan semula kes dan penyerahan laporan bedah siasat serta forensik. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram