
KOS sara hidup tinggi dan tidak padan dengan pendapatan yang diterima menjadi antara faktor peningkatan bilangan gelandangan di sekitar Kuala Lumpur.
Penyelaras Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Dapur Jalanan, Quratulain Atiqah Norzahirul Anuar berkata, situasi bertambah kritikal buat individu yang menerima bayaran kerja mengikut kadar jam atau hari.
"Sebenarnya isu peningkatan gelandangan bersangkut paut. Ia bermula daripada pendapatan gaji yang sikit atau tidak menentu.
"Jika bayaran diterima kecil, ia pastinya tidak padan dengan kos sara hidup tinggi di Kuala Lumpur. Itu belum lagi kalau dia terpaksa tanggung ahli keluarga yang ramai.
"Jadi ia berbalik kepada isu lain, contohnya rumah sewa. Dengan gaji yang sedikit, ramai dalam kalangan komuniti bandar yang mempunyai kekangan untuk menyewa bilik atau rumah hingga akhirnya menyebabkan mereka sanggup tidur di kaki lima," katanya kepada Majoriti.
Quratulain Atiqah menyifatkan tidak semua golongan gelandangan pemalas atau berbahaya.
Mengulas lanjut mengenai dakwaan mengatakan bahawa golongan itu pemalas, Quratulain Atiqah berkata, tindakan melabel semua gelandangan bersifat pemalas atau membahayakan adalah satu tanggapan yang tidak adil.
Jelasnya, sepanjang 10 tahun Dapur Jalanan beroperasi, dia mengakui terdapat beberapa kes gelandangan yang berjaya keluar daripada kesusahan hidup dengan usaha mereka.
"Tipu jika saya katakan semua (gelandangan) tidak bermasalah. Kalau nak cakap semua malas dan tidak ada yang rajin, pun tidak benar.
"Ada juga yang rajin mencari duit, tapi kita tidak tahu apa masalah lain yang dialaminya hingga menyebabkan dia terpaksa 'berumah' di kaki lima.
"Yang pasti, tidak semua pemalas atau berbahaya," katanya yang memaklumkan Dapur Jalanan akan beroperasi di sekitar Lorong Panggung, Kuala Lumpur setiap Ahad bermula pukul 5 petang.
Kebanyakan komuniti yang mengambil makanan daripada NGO terdiri daripada gelandangan atau golongan miskin bandar.
Quratulain Atiqah dalam pada itu turut menjelaskan, komuniti yang datang mengambil makanan daripada mereka bukan semuanya gelandangan yang tidak berumah.
Tambahnya, terdapat juga individu yang mempunyai rumah namun berdepan kekangan dari segi kewangan untuk menyediakan makanan lengkap buat diri sendiri atau keluarga.
"Ada juga golongan yang memiliki rumah tapi (hidup) susah dan kebetulan, mereka bekerja di sekitar lokasi kami.
"Ada yang datang dari Cheras, Puchong, Seri Kembangan, Shah Alam, Damansara dan beberapa tempat lagi. Mereka datang sini, makan kemudian balik," katanya lagi.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan, Dapur Jalanan tidak hanya fokus pada aktiviti menyalurkan bantuan makanan kepada gelandangan dan miskin bandar semata-mata.
Kebiasaannya gelandangan sudah mengetahui lokasi dan jadual waktu pengagihan makanan pada setiap minggu.
Malah, mereka turut terlibat dalam beberapa diskusi dan forum yang diadakan bagi mengetengahkan isu-isu yang dihadapi oleh golongan tersebut kepada pihak berwajib.
Ujarnya, hasil yang diperoleh daripada pemerhatian di lapangan digunakan sebaiknya untuk membantu mereka yang memerlukan.
"Sebelum kita nak selesaikan masalah tempat tidur gelandangan, ada isu lain yang perlu kita bantu dan santuni, seperti hak asasi mereka.
"Untuk makluman, selain tidak cukup makan, isu kad pengenalan, kesihatan dan anak-anak kecil yang tidak pergi sekolah adalah antara masalah yang cuba kami sebagai NGO bantu sedari awal.
"Di Dapur Jalanan misalnya, setiap dua bulan sekali kami akan buka klinik kesihatan dengan kerjasama Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM).
"Sambutan sangat baik terutamanya daripada golongan yang hidup susah, sekurang-kurangnya kita boleh bantu dari segi tahap kesihatan mereka," tambahnya.
Sebelum ini, Majoriti melaporkan tentang tinjauan mengenai gelandangan di sekitar kawasan Pasar Seni, Kuala Lumpur.
Sepanjang pemerhatian yang dilakukan selama lebih dua bulan, wartawan Majoriti mendapati golongan itu berterusan menghantui kawasan pelancongan tersebut dengan kaki lima dijadikan sebagai 'rumah' mereka.
Keadaan itu dilihat semakin membimbangkan dan mendatangkan kerisauan buat beberapa peniaga di sekitar Pasar Seni.
Ini kerana selain mencemarkan imej dan kebersihan lokasi itu, keberadaan gelandangan tersebut berkemungkinan akan mengancam keselamatan penduduk atau pelancong sekiranya perkara itu terus dibiarkan tanpa sebarang usaha bagi menanganinya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram