NAMA Liz Murray sememangnya terkenal sebagai ikon inspirasi wanita selepas membuktikan dari kehidupan bergelar gelandangan dan akhirnya berjaya bergelar graduan Universiti Harvard di Amerika Syarikat (AS).
Menceritakan pengalaman hidup, Liz dilahirkan pada 23 September 1980 di Bronx, New York, AS.
Ibu bapanya adalah penagih dadah dan pengidap HIV sekali gus mengheret kehidupannya bergelar gelandangan.
Desakan hidup memaksa Liz berhenti sekolah pada usia 15 tahun.
"Saya dan kakak makan ketulan ais kerana rasanya seperti makanan. Saya berkongsi ubat gigi bersama kakak untuk dijadikan sebagai makan malam," katanya.
Dia dan kakaknya juga terpaksa mencuri makanan untuk terus hidup dan tidur di stesen kereta api selain di kaki lima kedai.
Meskipun hidup dalam kesusahan perkara yang tidak pernah ditinggalkan oleh dua beradik itu adalah pelajaran.
Walaupun hidup serba daif, Liz dan kakaknya tetap meneruskan pembelajaran di sekolah rendah dan menengah dalam serba kekurangan dengan rambut dipenuhi kutu.
Liz yang memiliki keazaman tinggi akhirnya berjaya menjejakkan kaki ke universiti terkemuka iaitu Universiti Harvard dan menamatkan pengajian dengan cemerlang.
Segala coretan kehidupannya diceritakan dalam buku bertajuk Breaking Night: A Memoir Of Forgiveness, Survival, And My Journey From Homeless To Harvard.
Buku Liz Murray muncul sebagai 'best seller' di New York, Amerika Syarikat.
Buku yang ditulisnya pada 2010 itu, menceritakan kisah hidupnya bermula dengan berkongsi ubat gigi bersama kakaknya, ketagihan dadah yang dialami oleh ibu bapanya hingga dia bergelut untuk mendapatkan Ijazah Sarjana Muda Psikologi Pendidikan di universiti terkenal.
Ketika berumur empat tahun dia melihat ibu bapanya mengambil dadah dan dibelenggu dengan ketagihan alkohol yang sangat teruk.
"Saya mengetahui ibu dan ayah mempunyai tabiat pelik, namun tabiat itu cuba disembunyikan daripada kami dua beradik," katanya.
Memoir itu juga menceritakan bagaimana ibu bapanya mencuri wang hari jadinya dan juga menjual televisyen keluarga mereka untuk membeli dadah kerana ketagihan melampau.
Mengambil iktibar daripada kehidupan ibu bapanya, Liz berkata sangat rugi bagi seseorang yang meninggal dunia jika mereka tidak menggapai impian yang dihajati.
Kini, Liz bekerja sebagai penceramah bebas kepada kumpulan remaja sekali gus menjadi sumber inspirasi kepada kalangan remaja yang senasib dengannya.
Coretan penuh emosi itu turut diselitkan dengan kata-kata nasihat untuk terus menghormati kedua ibu-bapa walau apa pun kehidupan lampau dan keadaan mereka sekali pun.
“Ibu bapa kami menyayangi saya dan kakak dengan cara mereka sendiri,” katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram