SEBUT saja gelandangan, pastinya terbayang-bayang susuk tubuh yang sering menghabiskan sisa-sisa hidup mereka di tepi jalan sekitar ibu negara.
Pemandangan yang sudah di anggap biasa dalam kalangan warga kota itu bukan sesuatu yang baharu, namun peliknya ia seakan-akan bukan satu kesalahan.
Apatah lagi bila ramai yang menghulurkan bantuan berupa makanan dan wang ringgit, senario itu bagaikan 'syurga' buat gelandangan untuk terus hidup merempat mengharapkan simpati orang ramai.
Memang benar, bukan semua orang meminta untuk menjadi sebahagian daripada golongan itu. Ada yang sudah dibuang keluarga, tidak kurang juga berpaksikan kisah sedih angkara kehilangan sumber rezeki meskipun sudah acap kali cuba bangkit memburu sinar hidup baharu selepas kehilangan kerja.
Cuma, itu bukan alasan untuk menjadikan setiap pelusuk ibu kota sebagai 'rumah sementara', apatah lagi ada segelintir gelandangan didakwa bersikap agresif dan membahayakan orang awam.
Pendek kata, tidaklah sesukar mana untuk menjadi gelandangan ekoran mereka tahu ada saja bantuan menjelma selagi mana mereka bergelar gelandangan.
Adakah semudah memetik jari untuk menjadi seorang gelandangan? Tidak perlu kerja keras, tak perlu berusaha. Segala-galanya disediakan di depan mata. Demi membongkar kebenaran, dua wartawan Majoriti, AMNAN HIBRAHIM dan NUR IFTITAH ROZLAN menyamar sebagai gelandangan selama hampir 10 jam di beberapa lokasi di ibu negara baru-baru ini, selain melakukan tinjauan lebih dua bulan berturut-turut bagi mendapatkan gambaran apa sebenarnya yang berlaku.
Pek makanan pertama sebagai 'gelandangan' di Pasar Seni
"Adik dah makan ke?"
Itu soalan pertama diajukan seorang warga emas tatkala matanya tertancap pada kedua-dua penulis yang sedang duduk di sebuah kaki lima di Jalan Hang Lekiu, di ibu kota.
Kami cuma berpandangan sesama sendiri. Bukan apa, terbit juga perasaan bimbang jika penyamaran kami tidak menjadi.
Kalau diikutkan, kami sudah mencuba mencipta imej 'segelandangan' yang boleh. Mungkin disebabkan usia kami yang muda, jadi tak mustahil ada yang sangsi sama ada kami pasangan suami isteri ataupun adik-beradik.
Pada ketika itu, kami berdua baru sahaja tiba di lokasi tersebut pada sekitar pukul 6 petang bagi memulakan misi penyamaran sebagai gelandangan.
Sebagai sebahagian daripada usaha penyamaran, salah seorang daripada kami mengenakan kemeja-T lusuh berwarna putih, seluar bersaiz besar berona hijau yang dipinjam daripada rakan sekerja, selipar dan juga beg jinjing.
Sementara seorang lagi mengenakan pakaian kemeja-T lusuh berwarna hitam, seluar hitam, selipar, beg sandang serta beberapa beg plastik berisi pakaian. Muka pun comot selain rambut dibiarkan serabai seolah-olah sudah beberapa hari tak mandi. Aduhai.
Dua wartawan Majoriti yang membuat penyamaran sebagai gelandangan di sekitar Pasar Seni, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Bagi menjayakan aktiviti penyamaran tersebut, selain mengambil kira kami tidak cocok sebagai suami isteri apatah lagi sebagai adik-beradik, kedua-dua kami akhirnya berlakon sebagai rakan gelandangan yang baru sahaja berkenalan dan terperangkap di tengah-tengah ibu kota. Itupun selepas terlebih dulu membuat tinjauan di beberapa lokasi di Kuala Lumpur selama lebih dua bulan berturut-turut bagi memastikan segenap faktor keselamatan.
Tempat pertama yang menjadi tumpuan dalam misi yang dilakukan pada petang Jumaat baru-baru ini adalah di kawasan berdekatan Pasar Seni, salah satu hotspot berkumpulnya golongan tersebut.
Tidak mahu menimbulkan sebarang syak wasangka, sebaik mendengarkan pertanyaan daripada warga emas tersebut, penulis bersama rakan memberitahunya bahawa kehadiran kami di situ sememangnya bertujuan untuk mencari makan.
Sebaik mengetahui mengenai hasrat tersebut, dia segera menarik tangan penulis untuk pergi ke Anjung Singgah yang terletak hanya beberapa meter dari lokasi kami bertemu.
Ini kerana pada waktu itu, pusat yang menyediakan tempat tinggal bagi gelandangan itu sedang mengagihkan makanan percuma kepada kumpulan tersebut yang berada di kawasan sekitar.
Untuk makluman, Anjung Singgah merupakan sebuah pusat intervensi sosial yang menyediakan bantuan penginapan dan perlindungan sementara bagi gelandangan atau individu tidak mempunyai tempat tinggal dan pekerjaan.
Bagaimanapun, nasib kurang menyebelahi kami. Pada malam kejadian, penulis dimaklumkan bahawa pusat tersebut ditutup sementara waktu bagi tujuan renovasi dan baik pulih.
Berbalik pada petang hari berkenaan, kira-kira sebanyak 60 bungkusan hidangan makanan hasil daripada pemberian sebuah badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diagihkan kepada gelandangan di situ.
Selepas selesai beratur untuk mengambil makanan, penulis pun segera mencari tempat terdekat untuk menikmati hidangan diberikan yang berupa mi rojak ayam berkuah kacang.
Pada masa sama, wanita warga emas itu juga dilihat sudah siap-siap untuk beredar dari lokasi.
Ini kerana dia memaklumkan kepada penulis tujuannya datang ke pusat tersebut adalah bagi mendapatkan makanan sebelum kembali ke rumahnya di Cheras, Kuala Lumpur dengan menaiki pengangkutan awam.
Selepas selesai mengambil makanan, penulis sempat berbual sebentar dengan salah seorang wakil daripada NGO yang datang menyapa kami.
Hanya ingin dikenali sebagai Sarah, kelihatan dahi gadis berusia sekitar 20-an itu agak sedikit berkerut apabila melihat wajah penulis yang mungkin jarang dilihat di kawasan tersebut.
"Akak dari mana? Kenapa akak duduk dekat sini? Akak okay ke?" soalnya kepada penulis dalam nada risau.
Antara gelandangan warga asing yang membanjiri sekitar kawasan Pasar Seni, Kuala Lumpur.
Untuk tidak menimbulkan keraguan, penulis terpaksa berlakon dan bercerita serba sedikit kisah sedih yang kononnya menimpa penulis hingga menyebabkan penulis terpaksa 'berumah' di kaki lima.
Dia kemudian menasihatkan penulis agar tidak berada atau bergaul dengan individu yang tidak dikenali di kawasan itu.
Untuk memastikan keselamatan penulis, Sarah juga memberikan nombor telefon NGO yang diwakilinya sekiranya kami memerlukan bantuan.
'Syurga' makanan di Lebuh Pudu
Melihat jam sudah menunjukkan pukul 7 petang, kami kemudiannya berjalan kaki ke arah Lebuh Pudu yang terletak hanya kira-kira 400 meter dari lokasi.
Ini kerana menerusi beberapa perbualan ringkas bersama beberapa gelandangan lain yang ditemui, mereka memaklumkan bahawa terdapat aktiviti agihan makanan percuma di tempat tersebut. Jadi tanpa membuang masa, kami terus bergerak menuju ke destinasi.
Sebaik tiba di lokasi, kami mula meninjau di sekitar tempat itu yang mula dipenuhi dengan kumpulan gelandangan di kaki jalan.
Kebanyakan NGO mula mengagihkan makanan kepada gelandangan kira-kira pukul 5.30 petang hingga 2 pagi.
Percaya atau tidak, terdapat satu kawasan kaki lima sepanjang 100 meter dipenuhi dengan puluhan gelandangan bukan sahaja warga tempatan, malah turut dihuni oleh warga asing dipercayai dari Myanmar.
Sambil menunggu mana-mana dermawan yang datang menghulurkan makanan, penulis juga sempat berbual dengan beberapa gelandangan yang berada di situ.
Mungkin melihat muka 'asing' kami, dua individu lelaki kemudiannya menyapa kami sebelum bertanya lebih lanjut mengenai punca kami berada di situ.
Masing-masing masih 'in character' sebagai gelandangan, sedang kami rancak berborak dengan masing-masing meluah tentang kisah hidup, sekitar pukul 8 malam, kami kemudiannya didatangi sekumpulan sukarelawan yang mahu memberikan makanan.
Apa yang dapat penulis perhatikan, terpancar kegembiraan di wajah mereka saat menerima bekas makanan diisi dengan set hidangan makan malam lengkap, nasi putih berlaukkan ayam masak kicap, sayur campur, buah epal dan air mineral.
Selepas mendapat makanan tersebut, kami pun terus membuka juadah yang diberikan itu bagi mengisi perut sambil meneruskan perbualan yang tertangguh.
Cuma belum sempat kami menghabiskan hidangan tersebut, hanya selang beberapa minit kemudian, kami sekali lagi dikunjungi bukan satu, tetapi dua lagi NGO yang turut datang memberikan beg berisi makanan berat.
Senario ini menyebabkan kami berdua terfikir sejenak. Bayangkan dalam tempoh setengah jam sahaja, tanpa perlu bergerak ke mana-mana, penulis dan semua gelandangan menerima sekurang-kurangnya tiga pek makanan lengkap tidak termasuk buah-buahan, dan makanan ringan lain seperti biskut dan jajan.
Jumlah hidangan makanan diterima itu boleh dikatakan agak berbaloi dengan mengambil kira kos untuk satu makanan lengkap ketika ini mencecah harga sekurang-kurangnya antara RM9 hingga RM15.
Antara bungkusan makanan ringan dan barangan keperluan yang diterima oleh penulis ketika menyamar sebagai gelandangan.
Selain itu, bantuan diberikan turut meliputi barangan penjagaan diri seperti berus gigi, ubat gigi, ubat-ubatan dan tuala kecil.
Penulis menganggarkan nilai keseluruhan bagi sumbangan setiap beg 'goodies' berisi makanan dan minuman lengkap serta satu bekas alatan kebersihan diri adalah sebanyak RM20.
Dalam tempoh setengah jam, kami berdua yang sedang makan juga menerima sebanyak dua beg berisi barangan tersebut daripada pihak NGO.
Kalau dihitung secara total, agak 'meriah' bukan? Tambahan pula penulis mendapat kesemuanya dalam tempoh baru beberapa jam saja menjadi gelandangan.
Selepas selesai mengisi perut bersama kumpulan gelandangan tersebut, kami kemudiannya mula meminta izin bagi mengundur diri sekitar pukul 9.30 malam.
Alasan yang diberikan adalah untuk berjalan ke tempat lain bagi mula mencari lokasi tempat tidur.
Pada masa sama, turut dibawa bersama kami adalah dua pek makanan diterima sebentar tadi yang masih belum dijamah untuk dijadikan bekalan menjelang malam nanti.
Membongkar rahsia gelandangan di Terminal Bas Kota Raya
Lokasi seterusnya yang menjadi destinasi dituju kami berdua adalah Terminal Bas Kota Raya yang terletak hanya 230 meter dari Lebuh Pudu.
Ketika tiba di lokasi, beberapa kumpulan gelandangan dilihat sudah mula berada di stesen tersebut dengan ada antaranya turut baring di bangku tempat menunggu bas yang berada di tempat tersebut.
Penulis turut mengambil kesempatan untuk duduk dan berehat sebentar di kaki lima berhadapan sebuah kedai pakaian yang sudah ditutup.
Pada waktu sama, sekumpulan NGO dilihat mula tiba di lokasi bagi menyediakan bungkusan barangan yang mahu diberikan kepada gelandangan sekitar.
Sementara menunggu mereka memanggil untuk mengagihkan bantuan, penulis sempat menyapa seorang lelaki warga emas yang dilihat sedang duduk berseorangan di atas salah sebuah bangku di stesen tersebut.
Sebaik memulakan perbualan, lelaki tersebut yang hanya ingin dikenali sebagai Wong dilihat tidak kekok untuk bersembang.
Dia turut memaklumkan ketika itu bahawa itu merupakan kali pertama dia akan bermalam sebagai gelandangan di lokasi tersebut.
Sudah berusia 66 tahun, Wong berkata, dia baru sahaja kehilangan pekerjaan sebagai pembantu stesen minyak di Klang, Selangor baru-baru ini selepas lima tahun berkhidmat.
Pekerja sukarelawan NGO sedang menyediakan bungkusan pek makanan dan barangan keperluan untuk diserahkan kepada gelandangan.
Disebabkan itu, dia terpaksa keluar dari bilik sewa yang dihuninya di Klang dengan kadar sewa RM230 kerana sudah tidak mempunyai pendapatan.
"Lima tahun saya kerja, tapi kena buang kerja sebab usia. Pengurus stesen minyak mengadu saya cuci tandas tak bersih," ujarnya yang tinggal seorang sendiri selepas bercerai dengan isterinya sejak 30 tahun lalu.
Dia datang ke Terminal Bas Kota Raya itu kerana dimaklumkan ramai gelandangan yang tinggal di sekitar kawasan tersebut.
Ditanya mengenai perancangannya selepas ini, Wong tidak dapat memberikan sebarang jawapan yang cukup jelas.
"Mungkin esok cuba cari kerja. Tapi dah usia macam ini, siapa yang nak ambil," ujarnya yang sebelum ini pernah bekerja sebagai pemandu bas tambang di sekitar Lembah Klang selama 10 tahun.
Tepat pukul 10.15 malam, pihak sukarelawan yang sebentar tadi bersiap untuk memberikan bantuan mula memanggil gelandangan sekitar untuk beratur.
Penulis turut mengambil kesempatan untuk menerima bantuan yang diberikan berupa beberapa pek makanan ringan dan keperluan penjagaan diri dan ubat nyamuk.
Selepas mendapatkan barangan tersebut, kami kemudiannya meneruskan misi untuk melakukan tinjauan terhadap lokasi yang dijadikan pilihan oleh gelandangan bagi bermalam.
'Cop' tempat tidur awal elak berebut, risau basah
Berdasarkan pemerhatian penulis, kumpulan gelandangan ini rata-ratanya mula berada di lokasi tempat tidur agak awal iaitu sekitar pukul 8 malam.
Ini kerana mereka pastinya perlu berebut dengan gelandangan lain bagi mendapatkan tempat terbaik untuk tidur dan bermalam.
Bagi gelandangan lelaki, mereka lazimnya memilih lokasi kaki lima kedai yang agak gelap untuk membolehkan tidur mereka tidak diganggu oleh cahaya lampu yang terlalu terang.
Selain makanan, golongan kurang bernasib baik itu juga diberikan keperluan asas termasuk ubat nyamuk.
Sementara bagi gelandangan wanita yang berkeluarga pula, mereka dilihat mencari tempat tidur yang agak terang di samping lokasi yang berdekatan dengan jalan.
Hal tersebut pastinya kerana mengambil kira faktor keselamatan mereka.
Bagaimanapun, penulis mendapati terdapat sesetengah pihak yang sengaja membasahkan laluan di hadapan premis mereka bermula tengah malam semata-mata untuk menghalang gelandangan tidur di situ.
Kongsi seorang gelandangan yang dikenali sebagai Rita, sudah banyak tempat yang melakukan kaedah sedemikian ketika ini.
"Mereka tak mahu bagi kami tidur depan kedai, lepas pukul 12 tengah malam saja air akan dipancutkan di depan kedai.
"Bila basah, kami kena cari tempat lain untuk tidur," katanya yang turut berharap agar NGO memberikan sumbangan ubat nyamuk dalam kuantiti yang banyak.
Selepas hampir 10 jam berlegar-legar di sekitar kawasan Pasar Seni, misi penyamaran penulis sebagai gelandangan akhirnya tamat sekitar pukul 4 pagi.
Alat pancuran air yang dipasang di kaki lima sebuah bangunan bagi mengelakkan golongan gelandangan tidur di kawasan tersebut.
Sepanjang tempoh tersebut, tidak dinafikan, sememangnya terdapat banyak NGO dan individu bermurah hati mengedar makanan untuk gelandangan di sekitar kawasan berkenaan.
Situasi itu menyebabkan kumpulan gelandangan tidak perlu bimbang akan kelaparan atau terputus bekalan makanan.
Kebanyakan NGO juga sudah mengenal pasti selok-belok lokasi yang didiami golongan ini, jadi tidak sukar untuk mengagihkan makanan kepada mereka.
Dalam pada itu, walaupun sebelum ini kita banyak mendengar kisah buruk berkaitan golongan kurang bernasib baik itu, namun hati penulis agak tersentuh dengan kebaikan mereka yang saling menjaga keselamatan masing-masing meskipun tidak mengenali antara satu sama lain.
Ia terbukti apabila salah seorang daripada mereka menghulurkan sekeping kotak terpakai sebagai alas buat penulis tidur pada malam hari.
"Tak apa kak, akak pakai saja kami punya (kotak) ni, nanti kami cari lain. Akak perempuan, kasihan pula kena tidur atas simen.
"Nanti pandai-pandailah kami cari lain, kami dah biasa kak," ujarnya.
Cuma di sebalik kesedihan dan linangan air mata, terdetik juga di hati penulis. Sampai bila mereka mahu menjadi gelandangan?
Penyelesaian isu gelandangan
Memang benar, isu kewujudan golongan ini bukanlah sesuatu yang baharu.
Malah, ia boleh dikesan bermula sejak tahun 1980-an lagi selari dengan proses penghijrahan masyarakat ke bandar bagi mencari pekerjaan.
Bagaimanapun, selepas hampir empat dekad, masalah gelandangan ini dilihat masih terus mencalarkan imej Kuala Lumpur sebagai ibu negara Malaysia.
Ia masih tidak menemui jalan penyelesaian di sebalik pelbagai usaha dilakukan pihak berkuasa seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Antara insiatif yang telah dilaksanakan adalah mewujudkan beberapa pusat persinggahan seperti Anjung Singgah yang menyediakan kemudahan penginapan sementara dan latihan kemahiran kepada kumpulan tersebut.
Pada masa sama, terdapat juga usaha untuk mendapatkan pekerjaan buat kumpulan gelandangan melalui pelbagai program yang melibatkan kerjasama daripada kerajaan dan juga syarikat swasta.
Namun, semua pihak seharusnya mengambil maklum bahawa punca kepada isu gelandangan ini tidak semata-mata membabitkan masalah akses terhadap tempat tinggal dan pekerjaan.
Tindakan 'memukul rata' mengatakan bahawa golongan ini hidup sedemikian kerana malas bekerja juga adalah tidak benar sepenuhnya.
Ini kerana menerusi tinjauan dilakukan, terdapat beberapa perkara lain yang turut perlu ditangani, antaranya termasuk keadaan kesihatan setiap gelandangan.
Perlu diketahui bahawa selain masalah umur sesetengah gelandangan yang sudah lanjut, ada dalam kalangan gelandangan mempunyai masalah kesihatan yang menyukarkan mereka untuk bekerja.
Malah, ada juga keluarga yang dijumpai penulis terpaksa hidup bergelandangan selepas pasangan hidup khususnya suami yang merupakan satu-satunya sumber pencari rezeki kemalangan sehingga tidak boleh bekerja.
Disebabkan itu, jalan penyelesaian dengan memberikan akses pekerjaan terhadap golongan ini dilihat kurang berkesan termasuk inisiatif penyediaan tempat tinggal sementara yang hanya bersifat jangka pendek.
Selain itu, terdapat segelintir gelandangan juga mengalami masalah seperti kehilangan kad pengenalan sehingga menyebabkan mereka sukar untuk mencari pekerjaan dan termasuk mendapatkan bantuan sepatutnya daripada pihak kerajaan. Ini memang isu yang harus diatasi segera.
Pada masa sama, kemunculan kumpulan gelandangan warga asing yang terpaksa merempat kerana dipercayai hilang pekerjaan selepas pandemik Covid-19 juga perlu ditangani dengan cukup efektif termasuk usaha mewujudkan hub setempat seperti pusat jagaan orang tua.
Penyelesaian terhadap kesemua masalah yang dibangkitkan memerlukan perancangan yang lebih menyeluruh dan turut melibatkan kerjasama daripada pelbagai agensi kerajaan.
Ia termasuk pihak yang secara langsung bertanggungjawab dalam isu ini seperti DBKL, KPWKM, Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Apa yang pasti, ia perlu konsisten dan istiqamah supaya usaha membanteras isu gelandangan ini tidak sekadar melepaskan batuk di tangga. Tepuk dada, tanyalah selera.
Ikuti siri Laporan Khas: Gelandangan di Kuala Lumpur di portal Majoriti bermula hari ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram