EKSKLUSIF

Jijik... Gelandangan sekitar Pasar Seni sanggup tidur bergelumang najis, bertemankan tikus


  • Massa
  • Rabu, 20 Dis 2023

Kebanjiran kumpulan gelandangan di kaki lima sekitar Lebuh Pudu itu mula berlaku sejak negara berdepan pandemik Covid-19. — AMNAN HIBRAHIM/NUR IFTITAH ROZLAN

PASAR Seni sememangnya terkenal sebagai antara tempat tumpuan pelancongan utama di Kuala Lumpur.

Dengan statusnya sebagai pusat kebudayaan seni dan kraf Malaysia, ia pastinya turut menjadikannya sebagai destinasi popular dalam kalangan pelancong sama ada dari dalam dan luar negara.

Tidak cukup dengan itu, kawasan Pasar Seni turut menjadi tumpuan orang ramai terutamanya warga kota kerana kedudukannya yang cukup strategik.

Ini kerana di sekitar Pasar Seni, terdapat beberapa lagi lokasi popular antaranya Petaling Street dan juga deretan kedai makan popular di Jalan Sultan.

Bagaimanapun, tidak sampai beberapa meter daripada bangunan bersejarah Pasar Seni yang terbina sejak 1888 itu, terpapar satu lagi realiti yang sama sekali jauh berbeza.

Terletak betul-betul di sebelah Jalan Hang Kasturi dan Lebuh Pudu, lokasi itu kini menjadi tempat sekumpulan gelandangan yang menjadikan kawasan pejalan kaki sebagai tempat tinggal.

Pemandangan tersebut boleh disaksikan bukan sahaja pada waktu malam, tetapi juga ketika siang apabila ramai gelandangan dilihat tidur di hadapan deretan kedai yang sudah tidak beroperasi.

Gelandangan Logo Template - 2

Keadaan pada waktu malam di sekitar Lebuh Pudu dipenuhi gelandangan yang tinggal di hadapan kaki lima kedai dekat kawasan tersebut.

Pada masa sama, tinjauan dilakukan Majoriti di sepanjang lorong tersebut selama dua bulan berturut-turut juga mendapati, kawasan berkenaan seakan-akan sudah menjadi tempat tinggal tetap bagi kumpulan tersebut.

Ada antara mereka yang turut membawa tilam bujang bagi dijadikan sebagai alas tempat tidur di samping menggunakan kotak terpakai.

Pada waktu malam pula, mereka juga dilihat menyidai pakaian mereka di sepanjang besi pembahagi jalan di tepi laluan pejalan kaki.

Berdasarkan tinjauan yang dilakukan, gelandangan berada di sekitar kawasan ini yang dianggarkan sekitar 80 orang itu tidak terhad hanya kepada warga tempatan.

Gelandangan Logo Template - 2

Lorong belakang kedai di Lebuh Pudu yang dipercayai menjadi tempat untuk kumpulan gelandan melepaskan 'hajat'.

Ini kerana, hampir sebahagian besar daripada mereka turut terdiri daripada kumpulan pekerja warga asing yang masih berada dalam usia sekitar 30-an.

Bagi gelandangan warga tempatan, latar belakang usia meliputi mereka yang berada di pertengahan usia dan warga emas.

Pada waktu siang, kumpulan ini boleh dilihat melepak secara berkumpulan bersama rakan-rakan senegara yang lain.

Tindakan kumpulan tersebut menjadikan kawasan di sepanjang Lebuh Pudu itu seperti markas menyebabkan persekitaran tempat tersebut bertukar menjadi seperti tidak terurus.

Gelandangan Logo Template - 2

Kebanjiran gelandangan di sekitar kawasan Lebuh Pudu menyebabkan imej di kawasan tersebut kini mula berubah menjadi lebih buruk.

Selain daripada kewujudan timbunan sampah, pejalan kaki yang melalui kawasan tersebut pastinya akan turut menghidu bau hancing di sepanjang laluan tersebut.

Keadaan tersebut dipercayai berpunca daripada tindakan kumpulan tersebut yang membuang najis mereka secara sesuka hati di sekitar kawasan tersebut.

Lebih menjijikkan, ada juga segelintir gelandangan yang tergamak tidur bergelumang najis sendiri serta bertemankan tikus selain tidak mempedulikan keadaan sekeliling.

Malah, ketika tinjauan dilakukan, adalah menjadi pemandangan biasa melihat lelaki tanpa segan silu kencing ke arah tanaman hiasan di tepi jalan tersebut.

Menerusi perbualan bersama seorang gelandangan wanita yang tinggal di kawasan itu, pada waktu malam, mereka turut menjadikan longkang kecil di belakang sebuah lorong belakang kedai di tepi Jalan Lebuh itu sebagai tempat mereka melepaskan 'hajat'.

Seorang peniaga di Lebuh Pudu yang hanya dikenali sebagai Chin, 50, mengakui tahap kebersihan di kawasan tersebut sememangnya menjejaskan perniagaannya.

Gelandangan Logo Template - 2

Antara perniagaan yang masih beroperasi di sekitar Lebuh Pudu.

Malah, beliau yang sudah meniaga di situ selama kira-kira 20 tahun turut menghadapi masalah apabila terdapat segelintir gelandangan yang membuang najis di hadapan kedainya pada waktu malam.

"Pagi-pagi kalau buka kedai mesti ada tahi dan bekas air kencing. Lepas itu ada pula sisa makanan. Semua ni kita kena bersihkan sendiri baru boleh buka kedai.

"Ikutkan pelancong memang ramai dekat kawasan sini terutamanya di Pasar Seni. Tapi, siapa yang nak lalu sini kalau ada bau busuk?" ujarnya.

Menurut Chin, kebanjiran kumpulan gelandangan di kawasan tersebut mula berlaku sejak negara berdepan pandemik Covid-19.

Penularan wabak tersebut menurut Chin, juga menyebabkan lebih separuh daripada perniagaan yang beroperasi di unit rumah kedai dekat jalan tersebut terpaksa gulung tikar.

Turut berkongsikan kerisauan serupa dengan Chin adalah Zulkifli Yusof yang merupakan pemilik kedai bunga yang terletak di Jalan Tun H S Lee, iaitu lokasi yang terletak seberang Lebuh Pudu.

Gelandangan Logo Template - 2

Pemilik kedai bunga, Zulkifli Yusof.

Dia yang baru sahaja memulakan operasi di kawasan tersebut pada awal tahun ini berkata, pekerjanya sering kali terpaksa membersihkan sampah ditinggalkan oleh kumpulan tersebut.

"Kadang-kadang mereka ini tidur depan kedai. Jadi, bila buka kedai pagi itu adalah makanan berterabur, sisa najis dekat depan kedai," ujarnya.

Tidak cukup dengan itu, Zulkifli berkata, pihak turut berhadapan dengan isu keselamatan ekoran kehadiran kumpulan gelandangan di kawasan sekitar.

Ia selepas salah seorang pekerjanya pernah menjadi mangsa serangan daripada seorang gelandangan yang kurang siuman dalam satu kejadian pada September lalu.

"Insiden ini berlaku bila pekerja saya menegur tindakan seorang gelandangan yang mencetuskan kekecohan dengan cuba menendang seorang peminta sedekah ketika itu.

"Akibat daripada itu, gelandangan tersebut kemudiannya menerajang pekerja saya itu dari arah belakang," ujarnya yang turut memaklumkan pihak polis sudah menangkap suspek terbabit susulan kejadian tersebut.

Menurut Zulkifli, beliau berharap agar masalah kehadiran gelandangan itu dapat ditangani kerana ia secara langsung menjejaskan potensi pelancongan di kawasan tersebut.

Gelandangan Logo Template - 2

William berkata, dia terpaksa menutup operasi kedainya lebih awal kerana ketiadaan pengunjung di kawasan tersebut pada waktu malam.

Dalam pada itu, pemilik kedai makanan yang terletak hanya kira-kira 50 meter dari Lebuh Pudu, William Tan, 50, mengakui kawasan tersebut sememangnya diakui semakin suram sejak selepas pandemik.

Ujarnya, selain isu tekanan ekonomi sehingga menyebabkan rakyat kurang berbelanja, masalah gelandangan yang berada di sekitar juga menjadi antara faktor menyumbang kepada situasi tersebut.

"Sebelum pandemik hari biasa saya tutup kedai pukul 8 malam. Tapi sekarang pukul 6 petang dah kena tutup sebabnya dah tidak ada orang jalan-jalan dekat sini.

"Pukul 8 malam dah sunyi, yang tinggal cuma gelandangan," katanya yang merupakan generasi kedua menguruskan kedai keluarganya yang sudah beroperasi di situ sejak tahun 1980-an.

Ikuti siri Laporan Khas: Gelandangan di Kuala Lumpur di portal Majoriti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram