Tak sangka kena denda sampai RM264 di sempadan, lelaki ini ada pesan untuk rakyat Malaysia nak masuk Thailand


  • Tular
  • Jumaat, 22 Dis 2023

Di sebalik kerancakan rakyat Malaysia yang berpusu-pusu ke Thailand, terdapat juga cerita tidak sedap didengar mengenai perjalanan ke negara tersebut. — Gambar hiasan

SETIAP kali tibanya bulan Disember, kebanyakan rakyat Malaysia pastinya akan menggunakan musim cuti panjang hujung tahun bagi meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan.

Pelbagai destinasi dipilih dan dirancang untuk dikunjungi bagi mengisi waktu tersebut.

Antara tempat yang menjadi tumpuan rakyat Malaysia pada ketika ini untuk menghabiskan percutian mereka termasuk di negara jiran seperti Thailand yang memiliki pelbagai tempat menarik.

Selain faktor kemudahan akses yang boleh dicapai dengan melalui jalan darat, negara yang terkenal dengan jolokan Gajah Putih itu turut menjadi perhatian kerana nilai mata wangnya yang lebih rendah.

Bagaimanapun, di sebalik kerancakan rakyat Malaysia yang berpusu-pusu ke Thailand, terdapat juga cerita tidak sedap didengar mengenai perjalanan ke negara tersebut.

Kisah tersebut diceritakan sendiri salah seorang rakyat Malaysia yang berkunjung ke sana melalui hantaran di Facebook yang menggunakan nama, Md Nasir Md Saman.

Menerusi perkongsian di sebuah group Facebook, Md Nasir Md Saman mendakwa, ketika melalui proses pemeriksaan masuk di sempadan negara itu, dia dikenakan denda akibat kesalahan tidak menyerahkan semula borang kastam sewaktu dirinya balik dari Thailand baru-baru ini.

BACA LAGI: Ambil tahu cap masuk keluar elak kena denda ketika pemeriksaan di sempadan Thailand-Malaysia

Bagaimanapun, lelaki tersebut menafikan perkara tersebut kerana yakin sudah berbuat demikian ketika perjalanannya sebelum ini.

"Kelmarin saya ke Narathiwat melalui sempadan BKH (Bukit Kayu Hitam). Ramai betul rakyat Malaysia bercuti ke Thailand. Apabila tiba giliran saya untuk serah borang kastam, pihak kastam Thailand kata saya tak serah borang kastam sewaktu balik semasa saya ke Thailand dua minggu lepas.

"Saya diarah bayar denda sebelum boleh masuk ke Thailand semula. Saya yakin saya serah borang tu tetapi dalam data pihak kastam Thailand mengatakan tidak. Mahu tidak mahu kena bayar juga.

"Nasib baik dia minta 2,000 Baht (RM268) sahaja. Tapi yang musykilnya resit yang dia bagi 1,000 Baht (RM134) saja," ujarnya.

Susulan itu, Md Nasir Md Saman turut mengingatkan rakyat Malaysia yang menaiki kenderaan ke Thailand supaya benar-benar mengesahkan penyerahan borang tersebut dengan pegawai kastam negara tersebut ketika proses keluar.

"Saya yang selalu keluar masuk Thailand pun terkena," ujarnya.

Dalam pada itu, di ruangan komen, rata-rata warganet mengakui bahawa kes itu sememangnya didakwa kerap terjadi ke atas rakyat Malaysia yang berkunjung ke negara itu.

"Banyak sangat kes macam ni. Tempoh hari ada pasangan dari Selangor pun kena macam ni juga di sempadan. Diorang kata masa keluar tak bagi borang pengisytiharan kastam. Tapi bila sembang mereka cakap memang dah bagi.

"Harap-harap ada pihak yang boleh suarakan atau buat sesuatu. Naya kalau macam ni," tulis Afzai Apai.

Meskipun terdapat cadangan supaya mengambil gambar sebagai bukti ketika proses penyerahan borang tersebut untuk mengelakkan masalah tersebut, namun warganet mendakwa, prosedur di sempadan tidak membenarkan perkara tersebut.

Sehubungan itu, terdapat beberapa pengguna memberi idea lain mengenai cara untuk mengelakkan masalah tersebut.

"Saya selalu pastikan dia scan. Tapi dekat dashcam kereta saya simpan video masa tu. Kalau naik motor rekod video senyap-senyap," kongsi Oze Rizal. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram