Ambil tahu cap masuk keluar elak kena denda ketika pemeriksaan di sempadan Thailand-Malaysia


  • Massa
  • Isnin, 25 Dis 2023

Isu kekeliruan dalam proses pengesahan dokumen di sempadan Malaysia-Thailand timbul menyebabkan terdapat rakyat Malaysia didakwa didenda mencecah ratusan ringgit. — Gambar hiasan

PADA musim percutian hujung tahun kali ini, Thailand dilihat kini semakin menjadi destinasi tumpuan utama rakyat Malaysia untuk mereka menghabiskan waktu cuti.

Ini terbukti apabila melalui perkongsian yang tular di sosial media, beberapa lokasi popular di negara Gajah Putih itu dikatakan dibanjiri oleh rakyat Malaysia.

Peningkatan trend tersebut antara lain berikutan daripada kerancakan Thailand yang tampil giat mempromosikan destinasi pelancongan popular yang wujud di negara tersebut.

Selain itu, faktor pertukaran mata wang ringgit yang lebih tinggi berbanding Baht juga menjadi pendorong utama kepada perkembangan berkenaan.

WhatsApp Image 2023-12-24 at 4.33.29 PM

Jurucakap TravelThai.MY's yang tampil memberikan penjelasan berhubung kekeliruan dalam proses pengesahan dokumen perjalanan ketika proses keluar masuk di sempadan Malaysia-Thailand.

Namun begitu, di sebalik kerancakan tersebut, terdapat juga masalah yang dilaporkan timbul berhubung prosedur pergerakan keluar masuk rakyat Malaysia ke negara terbabit.

Ia selepas ada pihak mendakwa berlaku kekeliruan berhubung pengesahan proses keluar dari sempadan Thailand yang berlaku di sempadan sehingga mengakibatkan pelancong dari Malaysia didenda sehingga mencecah ratusan ringgit.

BACA LAGI: Tak sangka kena denda sampai RM264 di sempadan, lelaki ini ada pesan untuk rakyat Malaysia nak masuk Thailand

Lebih mengejutkan, insiden yang dikatakan kerap berlaku khususnya ketika proses pemeriksaan kastam di pihak Thailand itu juga didakwa berpunca akibat isu integriti.

Ini kerana dakwanya, terdapat kelemahan dalam proses pengesahan keluar terhadap pasport sehingga mengakibatkan warga Malaysia dilihat sering kali menjadi mangsa sehingga dikenakan denda.

Bagaimanapun, sebuah syarikat penyedia perkhidmatan pelancongan di Thailand tampil menjelaskan kekeliruan yang berlaku berhubung masalah tersebut.

Menerusi perkongsian video di Facebooknya, TravelThai.MY's, jurucakap syarikat tersebut memaklumkan orang ramai perlu terlebih dahulu mengenal pasti dua jenis dokumen perjalanan berlainan digunakan semasa proses keluar masuk di sempadan.

Ini kerana menurutnya, kedua-dua jenis dokumen terbabit yang mempunyai warna sampul berlainan iaitu pasport dan pas sempadan atau border pass masing-masing memiliki cara pengesahan atau jumlah cap yang berlainan antara satu sama lain.

Bagi rakyat Malaysia yang menggunakan pasport, iaitu dokumen yang mempunyai sampul berwarna merah, jurucakap tersebut menyatakan mereka perlu mempunyai sebanyak tiga cap bagi mengesahkan pergerakan di kesemua empat poin pemeriksaan keluar masuk dari sempadan Malaysia-Thailand.

WhatsApp Image 2023-12-24 at 4.34.45 PM

Contoh jumlah cap pengesahan yang diterima bagi mereka yang menggunakan pasport sebagai dokumen perjalanan.

Untuk yang menggunakan dokumen perjalanan pas sempadan yang mempunyai sampul berwarna biru, mereka memerlukan sebanyak empat cap untuk proses keluar masuk di sempadan yang juga melibatkan empat poin pemeriksaan.

"Untuk yang guna pasport, bila kita keluar dari Malaysia dia akan ada satu cap. Bila masuk Thailand dia akan ada satu cap, bila kita keluar dari Thailand, dia akan ada satu cap yang ketiga.

"Kemudian bila masuk balik Malaysia iaitu poin pemeriksaan keempat, dia tidak ada cap, scan (imbasan) sahaja, sebab pasport kita ini memang boleh scan.

"Kalau orang pakai border pass dia akan ada empat cap iaitu satu keluar dari Malaysia, kedua masuk dari Thailand, ketiga ketika balik nak keluar dari Thailand dan terakhir ketika masuk semula ke Malaysia," ujarnya.

WhatsApp Image 2023-12-24 at 4.35.49 PM

Contoh jumlah cap pengesahan yang diterima bagi mereka yang menggunakan pas sempadan sebagai dokumen perjalanan.

Menurut jurucakap tersebut, warga Malaysia yang mempunyai jumlah cap pengesahan mencukupi bagi mana-mana dokumen perjalanan digunakan tidak perlu risau dengan isu didenda ketika berada di sempadan.

"Jadi jangan keliru. Cuma kena tahu kita pakai dokumen yang mana satu untuk masuk Thailand sama ada guna pasport atau pas sempadan.

"Tapi yang penting memang kena cap (untuk pengesahan)," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram