VIDEO memaparkan dua individu lelaki mencuri basikal roda tiga dipercayai milik seorang gelandangan orang kurang upaya (OKU) mendapat perhatian warga maya.
Kejadian itu berlaku di hadapan rumah kedai di Telaga Mas Duta Harapan, Bekasi Utara, Indonesia kira-kira pukul 1 pagi pada Ahad lalu.
Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular di media sosial baru-baru ini, mangsa yang merupakan warga emas dilihat sedang tidur di hadapan rumah kedai berkenaan.
Tidak lama kemudian, muncul dua orang lelaki yang cuba mendekati mangsa sambil memerhatikan keadaan sekeliling, sebelum salah seorang daripada mereka bertindak mengambil basikal roda tiga itu secara senyap-senyap.
Seorang lagi suspek dilihat menunggu di atas motosikalnya.
Difahamkan, warga emas itu kini terpaksa berjalan merangkak disebabkan kenderaan yang biasa digunakan untuk memudahkan pergerakannya lesap diambil orang.
Menerusi maklumat awal yang dikongsikan, mangsa merupakan gelandangan yang kini hidup sebatang kara dan sering dilihat berkeliaran di kawasan sekitar.
Sementara itu, Ketua Sub Bahagian Perhubungan Awam Polis Metro Kota Bekasi, Komisioner Erna Ruswing menjelaskan, kes tersebut masih lagi berada dalam siasatan polis.
"Polis telah menjalankan siasatan di tempat kejadian dan sedang mencari saksi serta bukti di sekitar lokasi. Kami sedang menyiasatnya," kata Erna dalam satu kenyataan pada Khamis. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram