[VIDEO] Amerika Syarikat rancang lancar serangan balas terhadap tentera Houthi


  • Benua
  • Rabu, 20 Dis 2023

Tentera Amerika Syarikat merancang untuk melancarkan serangan ke atas askar Houthi, Yaman dalam masa terdekat. — Agensi

TENTERA Amerika Syarikat merancang untuk mengembangkan pasukan maritim di Laut Merah untuk mempertahankan wilayahnya daripada serangan pemberontak Houthi yang semakin meningkat kebelakangan ini.

Pertahanan baharu itu yang dinamakan 'Operation Prosperity Guardian', dibina atas gabungan Angkatan Maritim, sebuah gabungan antarabangsa yang dianggotai seramai 39 ahli yang beroperasi di bawah Armada Ke-5 Tentera Laut Amerika Syarikat di Bahrain.

BACA LAGI: [VIDEO] Tentera Houthi Yaman siar rakaman rampas kapal kargo milik penjajah

Jurucakap Majlis Keselamatan White House, John Kirby berkata, satu pembahagian pasukan yang dinamakan Pasukan Petugas 153 akan ditubuhkan untuk kawalan di Laut Merah.

"Apa yang kami akan lakukan adalah mengukuhkan dan menguatkan operasi yang dirancang sebelum diserang askar Houthi," katanya.

Tambahnya, operasi itu juga bertujuan menghalang serangan Houthi kerana Amerika Syarikat melihat potensi konflik yang boleh tercetus dalam ketegangan yang berlaku antara Israel dan pejuang Hamas.

Amerika Syarikat setakat ini telah menembak jatuh berpuluh-puluh dron Houthi yang cuba mensasarkan ke arah kapal komersial di wilayah terbabit.

Dalam pada itu, kumpulan pemberontak Houthi, Yaman telah melancarkan beberapa serangan dron terhadap kapal komersial yang menyeberangi Laut Merah.

Houthi yang disokong kuat Iran sebelum ini telah memberi amaran bahawa mana-mana kapal yang dihubungkan dengan Israel akan dijadikan sasaran sehingga perang di Gaza berakhir. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram