MAYAT seorang lelaki warga emas ditemukan terdampar di tebing pasir Sungai Kedah, berhampiran kawasan Ampang Jajar, Alor Setar, Kedah pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, polis sebelum itu telah menerima laporan berhubung kehilangan mangsa yang berusia 62 tahun itu, pada Isnin.
"Pada pukul 9 pagi tadi, pihak polis Kota Setar yang membuat pemantauan di sekitar Sungai Kedah di kawasan Ampang Jajar telah menemukan satu mayat yang terdampar di tebing pasir sungai berkenaan berdekatan Restoran Ampang Bay.
"Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah membantu membawa naik mayat mangsa dari tebing pasir sungai ke kawasan daratan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, mayat mangsa yang lengkap berpakaian tanpa identiti pengenalan diri itu dipercayai bersangkut dengan laporan orang hilang yang diterima polis pada Isnin.
"Ini berdasarkan pengecaman oleh waris mangsa yang turut berada di lokasi penemuan mayat. Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram