[VIDEO] Pegawai kanan polis langgar pelajar didakwa di bawah Seksyen 302 pada Isnin


Tertuduh tiba di Mahkamah Majistret Ipoh, Perak pada Isnin bagi pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh. — Bernama

PEGAWAI kanan polis yang terlibat dalam kes kemalangan maut melibatkan seorang pelajar tingkatan lima di Ipoh, Perak, pada Jumaat lalu dituduh di Mahkamah Majistret Ipoh pada Isnin.

Tertuduh, Mohd Nazri Abdul Razak, 44, didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, Jumaat lepas.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun atau maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 12 sebatan.

Media melaporkan bahawa tertuduh hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S Punitha.

Mengikut pertuduhan, Mohd Nazri didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap mangsa dalam kejadian sekitar pukul 12.5 hingga 12.40 tengah hari di Jalan Taman Jati 1, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Jati, Kinta, Perak.

BACA LAGI : [VIDEO] Adik dilanggar 2 kali, kami akan tuntut keadilan — kakak Muhammad Zaharif

BACA LAGI : [VIDEO] Pegawai kanan polis ditahan kes langgar lari depan sekolah di Ipoh

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pegawai Pendakwa Raya Azlina Rasdi (Ketua), Timbalan Pendakwa Raya Khairul Azreem Mamat, Timbalan Pendakwa Raya Wan Azimah Yaakob, Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz, Timbalan Pendakwa Raya Saiful Akmal Mod Said, Timbalan Pendakwa Raya Nasrul Hadi Abdul Ghani, Timbalan Pendakwa Raya J.S. Geetha dan Timbalan Pendakwa Raya Low Qin Hui.

Sementara tertuduh diwakili peguam Low Yap Loong.

Tiada jaminan ditawarkan ke atas tertuduh dan mahkamah menetapkan 7 Februari 2024 sebagai tarikh sebutan semula kes, sementara menunggu laporan berkaitan, antaranya laporan kimia.

Jabatan Peguam Negara dalam satu kenyataan pada Ahad memaklumkan suspek dalam kes tersebut akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Ia selepas hasil siasatan mendapati keterangan yang dikemuka dalam kertas siasatan mencukupi bagi suatu kesalahan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan terhadap suspek.

Suspek akan dituduh secara tentatif mengikut Seksyen 302 di Mahkamah Majistret, Ipoh, pada Isnin dan Mahkamah Majistret kemudian bakal menetapkan tarikh untuk memindahkan kes terbabit ke Mahkamah Tinggi Ipoh untuk tujuan perbicaraan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram