Kes langgar mati pelajar Ipoh: Pegawai kanan polis akan didakwa atas tuduhan bunuh pada Isnin, kata Peguam Negara


  • 112
  • Ahad, 17 Dis 2023

Mangsa yang merupakan pelajar tingkatan lima dilanggar berhampiran SMK Jati di Meru dekat Ipoh, Perak pada Jumaat. — Facebook

PEGAWAI polis berpangkat deputi superintendan (DSP) yang merempuh seorang pelajar Tingkatan Lima sehingga mengakibatkan kematian pelajar itu akan didakwa atas tuduhan membunuh pada Isnin ini.

Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Salleh berkata, selepas meneliti hasil siasatan dan berdasarkan bukti dalam kertas siasatan, Jabatan A-G mendapati terdapat bukti mencukupi untuk pertuduhan membunuh terhadap suspek.

“Justeru, suspek akan didakwa sementara di mahkamah Majistret Ipoh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan pada Isnin.

“Mahkamah Majistret kemudiannya akan menentukan tarikh untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi Ipoh untuk perbicaraan,” katanya dalam satu kenyataan pada petang Ahad.

Dilaporkan, Muhammad Zaharif Affendi meninggal dunia di tempat kejadian berikutan kejadian kira-kira pukul 12.40 tengah hari pada Jumaat lepas dan bedah siasat mendapati pelajar SMK Jati itu meninggal dunia akibat kecederaan di dada dan perut.

Suspek yang juga merupakan Pegawai Turus Bahagian Siasatan Jenayah Berat, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah telah direman sehingga Isnin ini bagi memudahkan siasatan susulan kemalangan itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram