[VIDEO] Kes langgar mati pelajar di Ipoh: Pegawai kanan polis didapati negatif dadah


  • 112
  • Ahad, 17 Dis 2023

Mangsa dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian dekat Jalan Taman Jati, Ipoh, Perak susulan insiden perlanggaran yang berlaku pada Jumaat lepas.

POLIS menerima sebanyak 12 laporan berhubung kes pelanggaran melibatkan seorang pelajar Tingkatan Lima yang maut selepas didakwa dirempuh kereta dipandu pegawai kanan polis di Ipoh, Perak pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, jumlah itu adalah laporan yang diterima sejak Jumaat dengan kes masih disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan kerana menyebabkan kematian dan memandu secara melulu atau berbahaya serta Seksyen 302 Kanun Keseksaan untuk jenayah bunuh.

Yusri berkata, pegawai polis berusia 44 tahun itu yang ditahan pada Jumaat, didapati negatif dadah.

“Kami juga telah mengambil sampel darahnya dan sedang menunggu laporan patologi,” katanya ketika dihubungi.

Mangsa, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, dilaporkan meninggal dunia di Jalan Taman Jati susulan insiden perlanggaran tersebut yang berlaku sekitar pukul 12.40 tengah hari Jumaat.

Bedah siasat mendapati pelajar SMK Jati itu meninggal dunia akibat kecederaan di dada dan perut.

Suspek kini ditahan reman selama tiga hari sehingga Isnin bagi membantu siasatan. — The Star/IVAN LOH

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram