Kes langgar pelajar di Ipoh, polis segerakan kertas siasatan


  • 112
  • Sabtu, 16 Dis 2023

Mohd Yusri Hassan Basri (kanan) berkongsi kesedihan dengan Mimi Julia Ismail, 50, (kiri) ibu pelajar Mohammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie yang maut akibat dilanggar sebuah kereta berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, di kediaman keluarganya di Taman Chepor Sentosa Chemor pada Sabtu. — Bernama

POLIS akan melengkapkan kertas siasatan dalam kadar segera terhadap seorang pegawai kanan polis yang disyaki terbabit dalam kes kemalangan pelajar lelaki yang maut dilanggar sebuah kereta berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di Meru dekat Ipoh, Perak pada Jumaat.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, langkah itu bagi membolehkan pendakwaan berhubung kes kemalangan itu dilakukan di mahkamah dalam masa terdekat.

"Suspek direman tiga hari bermula pada Sabtu. Kita akan melengkapkan siasatan secepat mungkin untuk diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat keluarga mangsa di Taman Chepor Sentosa pada Sabtu.

Mohd Yusri berkata, pihaknya sedang meneliti rakaman litar tertutup yang ada di sekitar kawasan kemalangan serta mendapatkan rakaman daripada pemilik kamera papan pemuka (dashcam).

"Semuanya masih dalam siasatan. Kita akan menyiasat daripada pelbagai sudut dan tidak akan sekali-kali berkompromi atau melindungi mana-mana pihak dan kita menjalankan siasatan secara telus untuk memberi keadilan kepada semua pihak, " katanya.

BACA LAGI : [VIDEO] Adik dilanggar 2 kali, kami akan tuntut keadilan — kakak Muhammad Zaharif

IPOH, 16 Dis -- Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri (tengah) bercakap pada sidang media ketika mengunjungi rumah keluarga pelajar Mohammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie yang maut akibat dilanggar sebuah kereta berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, di kediaman keluarganya di Taman Chepor Sentosa Chemor hari ini.--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Mohd Yusri Hassan Basri (tengah) bercakap pada sidang media ketika mengunjungi rumah keluarga pelajar yang maut akibat dilanggar sebuah kereta berhampiran SMK Jati, di kediaman keluarganya di Taman Chepor Sentosa Chemor pada Sabtu. — Bernama

Pada Jumaat, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada 12.40 tengah hari tadi melibatkan kereta Perodua Ativa yang dipandu suspek berusia 44 tahun serta motosikal jenis Yamaha yang ditunggang pelajar tersebut.

Mangsa Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala lelaki berpangkat Deputi Superintenden (DSP) dan bertugas Ibu Pejabat Poilis Kontinjen (IPK) Kedah tidak mengalami sebarang kecederaan.

Yahaya berkata hasil bedah siasat ke atas mayat yang dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini mendapati punca kematian disebabkan kecederaan di bahagian dada dan abdomen akibat daripada kemalangan jalan raya.

Turut tular hantaran oleh orang awam di media sosial mengenai kejadian berhampiran sekolah SMK Jati, di Meru memaparkan gambar pelajar lelaki berkenaan yang cedera didakwa dilanggar sebuah kereta.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh turut melawat keluarga mangsa dengan memberi kata-kata semangat serta turut menyumbangkan sumbangan peribadi kepada wakil keluarga mangsa.

IPOH, 16 Dis -- Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri (duduk, kanan) menenangkan Muhd Zamrie Zainal Abidin, 55, (duduk dua, kanan) bapa kepada  pelajar Mohammad Zaharif Affendi yang maut akibat dilanggar sebuah kereta berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, di kediaman keluarganya di Taman Chepor Sentosa Chemor hari ini.Turut sama Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris (duduk dua, kiri).--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Mohd Yusri (duduk, kanan) menenangkan Muhd Zamrie Zainal Abidin, 55, (duduk dua, kanan) bapa kepada pelajar Mohammad Zaharif Affendi yang maut. — Bernama

BACA LAGI: [VIDEO] Pegawai kanan polis ditahan kes langgar lari depan sekolah di Ipoh

Dalam lawatan berkenaan bapa mangsa, Muhd Zamrie Zainal Abidin, 55, rebah semasa Mohd Yusri tiba di kediaman mangsa kira-kira jam 5 petang tadi.

Muhd Zamrie ditenangkan oleh Mohd Yusri serta orang sekeliling yang bersimpati dengan nasib yang menimpa keluarga berkenaan.

Muhd Zamrie serta beberapa ahli keluarga mangsa kelihatan gagal menahan emosi dengan menangis teresak-esak semasa menceritakan kembali detik kemalangan yang menimpa anak bongsunya itu kepada orang ramai antaranya kenalan dan saudara mara yang hadir memberi sokongan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram