Warga emas, remaja pandu BMW terperangkap dalam kereta akibat banjir di JB


  • 112
  • Khamis, 14 Dis 2023

Seorang remaja dan warga emas terperangkap akibat banjir kilat di Taman Molek, Johor Bahru, Johor pada petang Khamis. — Ihsan bomba

SEORANG wanita warga emas dan seorang remaja lelaki berdepan detik cemas apabila terperangkap dalam kereta dipandu mereka akibat banjir kilat yang berlaku di hadapan stesen minyak di Taman Molek, Johor Bahru, Johor petang Khamis.

Mereka bagaimanapun berjaya diselamatkan pihak bomba.

Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan (PBK) I (KUP), Sufian Mohamed Lis berkata, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 4.30 petang itu, melibatkan sebuah kereta Proton Saga dipandu wanita berusia 70 tahun dan sebuah kereta jenis BMW yang dipandu remaja lelaki 17 tahun.

"Seramai 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya bersama sebuah jentera Fire Rescue Team (FRT) dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikejarkan ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan.

"Setibanya di tempat kejadian, didapati terdapat dua orang mangsa yang terperangkap di dalam kereta akibat banjir kilat yang berlaku.

"Pihak bomba bertindak menyelamatkan kedua-dua mangsa ke tempat yang lebih selamat,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, ketika kejadian, air mencecah paras lutut dan operasi menyelamat selesai kira-kira sejam kemudian.

Sementara itu, Majlis Bandar Raya Johor Bahru dalam kenyataan ringkas memaklumkan terdapat 11 lokasi sekitar bandar raya itu dilanda banjir kilat susulan hujan lebat berterusan sejak pukul 4 petang Khamis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram