MAJLIS Bandaraya Ipoh (MBI) dilaporkan telah menyita lima buah gerai termasuk premis yang dirempuh bas sekolah di Taman Klebang Putra, Ipoh, Perak baru-baru ini.
MBI dalam satu kenyataan berkata, susulan insiden tular itu, pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan meningkatkan Operasi Penguatkuasa Bersepadu yang membabitkan jabatan dalaman ke atas kawasan tepi jalan di kawasan terbabit, pagi Rabu.
Menurutnya, selain sitaan terhadap lima gerai, dua penjaja di situ dikenakan kompaun RM250 seorang mengikut Undang-Undang Kecil Penjaja (MBI) 2020 dan disusuli dengan 20 notis mengikut Seksyen 46, Akta Jalan, Parit & Bangunan 1974.
"Susulan insiden terbabit, pihak MBI meningkatkan Operasi Penguatkusaan Bersepadu yang membabitkan jabatan dalaman ke atas penjaja tepi jalan di kawasan itu termasuk operasi yang dijalankan antara pukul 9 pagi hingga 10.45 pagi Rabu.
"Operasi Penguatkuasaan Bersepadu diteruskan di lokasi-lokasi yang berisiko seperti ini di sekitar bandaraya Ipoh supaya insiden seperti ini tidak berulang," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Tambahnya, peniaga tepi jalan yang menjual nasi kukus dengan khemah sementara dalam kejadian itu tidak dilesenkan oleh MBI.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan melaporkan, bas sekolah itu yang dipandu lelaki berusia 59 tahun dan terdapat tiga pelajar sebagai penumpangnya hilang kawalan akibat mengalami kerosakan pada stering selain kegagalan brek. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram