Dua budak nampak Zayn Rayyan di blok R sehari sebelum mayat ditemukan


  • 112
  • Khamis, 14 Dis 2023

Polis berjaya menemukan dua saksi kanak-kanak yang mendakwa terlihat Zayn Rayyan di tingkat dua dan tiga Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya, Selangor sebelum dilapor hilang pada Selasa.

POLIS telah mengenal pasti dua saksi kanak-kanak kes kematian Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, semasa pemeriksaan besar-besaran penduduk di Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya, Selangor.

Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Hussein Omar Khan berkata, kedua-dua saksi difahamkan telah melihat mangsa di Blok R pangsapuri tersebut yang merupakan kawasan tempat tinggal keluarga Zayn Rayyan.

“Hasil saringan yang dijalankan, polis berjaya mengenal pasti dua kanak-kanak yang pernah melihat mangsa di tingkat dua dan tiga Blok R pada tengah hari Selasa lalu (5 Disember),” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Katanya, polis telah merekodkan sejumlah 86 kenyataan berhubung siasatan itu selain 238 sampel DNA juga telah dikumpul setakat ini.

Untuk rekod, Zayn Rayyan dilaporkan hilang Selasa lalu dan mayatnya ditemui keesokan harinya di dalam sungai kira-kira 200 meter dari blok yang didiaminya di Pangsapuri Idaman.

Pada Rabu, pasukan penyiasat menemui stokin di sungai berhampiran tempat penemuan mayat kanak-kanak autisme Zayn Rayyan.

Jelas Hussein Omar, stokin itu perlu dihantar ke makmal untuk dianalisis bagi memastikan sama ada ia milik Zayn Rayyan.

Dalam pada itu, sepasukan polis forensik dilihat tiba dan memasuki Blok R pangsapuri berkenaan pada pagi Khamis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram