[VIDEO] Pokok jadi penyelamat 4 remaja dihanyut arus banjir deras di Machang


  • 112
  • Khamis, 14 Dis 2023

Empat sekawan berjaya diselamatkan anggota bomba selepas tersangkut pada sebatang pokok ketika hanyut dibawa arus deras dalam insiden banjir yang melanda Kampung Mengketil, Machang, Kelantan pada Khamis. — Ihsan bomba

BENCANA banjir yang melanda Kampung Mengketil, Machang, Kelantan telah mengakibatkan empat sekawan hanyut dibawa arus deras sebelum tersangkut pada sebatang pokok pada Khamis.

Walau bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 4.18 petang itu, kesemua remaja berusia 16 tahun itu sempat diselamatkan oleh anggota bomba.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Machang, Mokhtar Che Mah berkata, selepas menerima panggilan kecemasan, seramai lapan anggota bergegas ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 10 kilometer dari balai bomba.

Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, keempat-empat remaja itu sudah dihanyut banjir sejauh 150 meter dan tersangkut pada pokok.

“Kami menjalankan operasi menyelamat mangsa dengan menggunakan tali. Keempat-empat remaja itu berjaya diselamatkan.

“Anggota bomba menyerahkan kesemua mangsa untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Jelas Mokhtar, operasi menyelamat tamat pada pukul 5.51 petang Khamis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram