[VIDEO] Ahli Parlimen Poland gelar Yahudi 'syaitan', sembur pemadam api sabotaj upacara agama


  • Benua
  • Rabu, 13 Dis 2023

Tangkap layar Grzegorz Braun mencetuskan kekecohan di Parlimen Poland dengan menggunakan alat pemadam api.

SEORANG penggubal undang-undang antisemitik dari parti Konfederasi sayap kanan, Grzegorz Braun mencetuskan kekecohan apabila didakwa sengaja memadamkan lilin 'Hanukkah' di Parlimen Poland dengan menggunakan alat pemadam api pada Selasa.

Perbuatan tersebut dipercayai berpunca selepas individu terbabit mengecam upacara Yahudi itu selain turut menggelarnya sebagai acara 'syaitan'.

Namun sejurus kemudian, dia telah dihalau keluar dari sidang Parlimen berkenaan oleh Speaker Szymon Holownia.

Bercakap kepada wartawan, Holownia menyifatkan insiden itu sebagai isu hangat dan menjelaskan bahawa kawalan keselamatan parlimen Poland akan menyiasat dengan teliti rakaman dari kejadian itu untuk memutuskan hukuman terhadap pelaku.

Dalam pada itu, tindakan Braun dikatakan turut mengganggu proses undi percaya terhadap kerajaan akan datang yang diketuai Perdana Menteri Donald Tusk.

Mark Brzezinski, Duta Besar Amerika Syarikat ke Poland berkata, dia sangat kecewa dan marah akan insiden yang berlaku selain menyifatkan ia sebagai tindakan kebencian yang sangat menjijikkan.

"Saya memohon maaf kepada seluruh masyarakat Yahudi di Poland," kata Kardinal Grzegorz Rys, ketua Jawatankuasa Dialog Roman Katolik.

Untuk rekod, kejadian itu bukan kali pertama berlaku apabila pada Jun lalu, Braun didakwa menyerbu masuk ke dalam ucapan syarahan yang disampaikan ahli sejarawan dan menghancurkan mikrofon serta pembesar suara di dewan tersebut.

Selain itu, beliau turut menggelar Yahudi sebagai musuh Poland dan menuduh bangsa itu mengambil alih wilayah negara terbabit.

Tindakannya itu dipercayai ada kaitan dengan konflik di Gaza susulan tindakan ketenteraan rejim Zionis terhadap penduduk Palestin yang kini mengorbankan lebih 18,000 nyawa. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram