Rosmah Mansor kemuka representasi, mohon gugur 17 pertuduhan wang haram dan gagal isytihar pendapatan


Rosmah Mansor mengemukakan representasi ke Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi menggugurkan 12 pertuduhan dihadapi. — The Star

DATIN Seri Rosmah Mansor telah mengemukakan representasi baharu kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menggugurkan 12 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM7,097,750 dan lima kesalahan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Rosmah memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Tinggi K. Muniandy bahawa representasi dihantar pada Selasa itu mempunyai isu serius yang perlu dipertimbangkan oleh Peguam Negara.

"Kami juga mohon pendengaran kes hari ini dilapangkan sementara menunggu keputusan representasi berkenaan. Pihak kami tidak berniat untuk menangguhkan kes ini," kata peguam itu.

Ini merupakan representasi ketiga dihantar oleh isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selepas representasi pertama dan kedua yang dikemukakan masing-masing pada 3 Mei dan 18 Ogos lepas masih belum diputuskan oleh AGC.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib mengesahkan menerima representasi itu pada Rabu dan memaklumkan kepada mahkamah bahawa representasi berkenaan belum ditaklimatkan kepada Peguam Negara.

"Representasi itu yang mengandungi isu serius berhubung pertuduhan perlu diteliti terlebih dahulu selain kami juga tidak membantah permohonan pembelaan untuk melapangkan prosiding hari ini," katanya.

Permohonan Rosmah bagi membatalkan kesemua pertuduhan dihadapinya akan didengar pada Khamis.

Bagaimanapun, Hakim Muniandy tidak membenarkan penangguhan prosiding pada Khamis dan meminta pihak-pihak terlibat meneruskan dengan hujahan.

Sementara itu, dalam permohonan untuk membatalkan pertuduhan, peguam Amer Hamzah Arshad, yang turut mewakili Rosmah berhujah bahawa anak guamnya tidak akan mendapat perbicaraan yang adil kerana 17 pertuduhan dihadapinya adalah cacat dan mengelirukan.

"Pertuduhan berkenaan bertindan antara satu sama lain dan ia sebenarnya merujuk kepada kesalahan sama.

"Pertuduhan pertama hingga pindaan ke-12 berkaitan pengubahan wang haram adalah kabur serta defektif kerana tidak menyatakan apakah aktiviti haram atau kesalahan predikat daripada mana hasil dikatakan telah diperoleh manakala butiran dalam pertuduhan ke-13 hingga ke-17 (gagal isytihar pendapatan) mengelirukan,” kata peguam itu.

Pendengaran permohonan itu akan bersambung 16 Januari depan.

Rosmah memfailkan notis usul itu pada 4 Oktober 2020, memohon agar beliau dilepas dan dibebaskan daripada kesemua 17 pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Rosmah, 72, didakwa melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di Kuala Lumpur antara 4 Dis 2013 dan 8 Jun 2017 serta di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di Kuala Lumpur dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

Perbicaraan bagi kes itu bermula pada 24 Ogos lepas dengan dua saksi telah dipanggil memberi keterangan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram