[VIDEO] Bengang 'screen protector' telefon retak, lelaki tampar pekerja wanita di Muar


  • Tular
  • Rabu, 13 Dis 2023

Tangkap layar seorang lelaki menampar pekerja wanita di sebuah premis peralatan telekomunikasi di Pagoh, Muar, Johor.

HANYA disebabkan pelindung skrin telefon pintar retak, seorang lelaki tergamak mengasari pekerja wanita di sebuah premis peralatan telekomunikasi di Pagoh, Muar, Johor pada Rabu.

Kejadian itu dikatakan terlebih dahulu berlaku apabila pelaku memarahi mangsa selepas skrin pelapik perantinya pecah dan rosak teruk.

Cuba dibantu pekerja wanita terbabit, lelaki berkenaan walau bagaimanapun terus bertindak menampar dan memakinya selepas tidak berpuas hati dengan hasil kerjanya.

Tersentak dengan kelakuan tersebut, wanita berkenaan kemudiannya membalas serangan itu dan mencampakkan beberapa barangan berupa bekas kosong ke arah pelaku.

Dalam pada itu, tangisan kanak-kanak turut kedengaran dalam rakaman berdurasi seminit 38 saat itu dipercayai adik mangsa yang ketakutan ketika kejadian.

Tidak dihentikan sesiapa, insiden itu berakhir apabila lelaki tersebut beredar dan meninggalkan premis itu selepas dihalau pekerja wanita terbabit.

Belum ada sebarang kenyataan polis berhubung kejadian itu setakat ini dan mangsa juga difahamkan belum membuat sebarang laporan berkaitan hal tersebut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai berhampiran untuk melaporkan perkara itu ke pihak berkuasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram