[VIDEO] Sering bantu pesakit, pengawal keselamatan wanita HRPB bakal terima anugerah daripada Agong


  • Massa
  • Rabu, 06 Dis 2023

Yogeswary tersenarai sebagai penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan daripada Yang di-Pertuan Agong.

PENGAWAL keselamatan wanita, Yogeswary, 44, dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) tersenarai sebagai penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan daripada Yang di-Pertuan Agong pada 19 Disember ini.

Pengiktirafan itu diberikan susulan sifat peramah dan ringan tulang yang dipamerkan ketika bertugas di Kompleks Wanita, Kanak-Kanak dan Kardiologi HRPB sebelum ini apabila sering membantu pelawat untuk meletakkan kereta di ruang parkir bagi memudahkan si suami melawat isteri di wad bersalin.

KS

Yogeswary tersenarai sebagai penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan daripada Yang di-Pertuan Agong pada 19 Disember ini. — Facebook/Yogeswary

Selain itu, individu berkenaan turut terkenal dengan perwatakan peramah dan ringan tulang serta suka membantu membukakan pintu kereta, mengangkat barang, menjaga lalu lintas di parkir, menenangkan pesakit yang cemas, serta mengucapkan tahniah kepada ibu yang baharu melahirkan anak di hospital tersebut.

Sikapnya yang sentiasa merendah diri kemudiannya tular di laman media dan meraih pujian melambung daripada netizen serta pesakit yang pernah bertemu dengannya.

Berkongsi kegembiraannya di laman Facebook, Yogeswary mengucapkan terima kasih kepada semua pelawat dan sokongan diberikan atas penganugerahan yang diterima.

"Saya nak ucapkan ribuan jutaan terima kasih kepada semua pelawat yang datang ke HRPB Ipoh, dengan sokongan dan komen-komen anda, saya akan menerima pingat ini.

"Jasa saya di kompleks wanita dan kanak-kanak, terutama untuk kesemua adik-adik perempuan yang datang untuk bersalin di KWKK dan juga dapat memudahkan para ayah untuk dapatkan parkir.

"Sekarang saya berkhidmat di Kompleks Rawatan Harian untuk pesakit kurang upaya (warga emas) di sini. Saya dapat penghargaan ini daripada anda semua.

"Terima kasih saya ucapkan kepada anda semua dan tak lupa pada syarikat saya, 'United' yang kini saya sedang berkhidmat sekarang, unit keselamatan kami, keluarga, kenalan di Facebook dan pegawai-pegawai atasan di HRPB Ipoh. Terima kasih sekali lagi untuk anda semua," katanya menerusi hantaran pada Isnin.

Untuk rekod, Yogeswary sebelum ini tular apabila gelagatnya membantu pengunjung Kompleks Wanita, Kanak-Kanak dan Kardiologi HRPB dikongsi di media sosial hingga meraih perhatian Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.

Atas komitmen tinggi ditunjukkan, beliau kini ditugaskan mengawal keselamatan di Kompleks Rawatan Harian HRPB bagi membantu warga emas dan orang kurang upaya (OKU) sejak enam bulan lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram