[VIDEO] Gaduh bersenjata, 3 suspek miliki rekod jenayah ditahan polis


  • 112
  • Selasa, 05 Dis 2023

Tangkap layar insiden pergaduhan membabitkan tiga individu lelaki di sebuah premis dekat Johor Bahru, Johor pada Isnin.

TIGA lelaki ditahan selepas didakwa terlibat dalam insiden pergaduhan melibatkan senjata tajam di sebuah restoran dekat Johor Bahru, Johor pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, lelaki berusia 26 hingga 28 tahun itu ditahan susulan video tular pergaduhan sekumpulan individu di hadapan sebuah premis.

Katanya, insiden pergaduhan itu dipercayai berlaku pada pukul 12.48 malam Isnin.

"Punca kejadian masih dalam siasatan. Semua suspek ditahan kira-kira pukul 1.45 petang hingga 3 petang oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah IPK Johor bersama Bahagian Siasatan Jenayah IPD Johor Bahru Selatan.

"Serbuan dilakukan di dua lokasi berbeza dan polis turut merampas empat telefon bimbit, bag galas, sebilah parang, set pakaian dan sebuah kereta.

"Pihak polis masih giat mengesan beberapa suspek lagi bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut Raub, hasil semakan rekod lampau mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai satu rekod dadah, empat rekod jenayah dan satu rekod senarai hitam kes jenayah.

"Orang awam yang mempunyai maklumat boleh menghubungi IPD Johor Bahru Selatan di talian 07-2182323, atau pegawai penyiasat kes Inspektor Azlinda Mohd Khalid di talian 017-2765250," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram