[VIDEO] Wanita maut tercampak ke belakang kenderaan dinaiki bersama suami, anak kemalangan di Machang


  • 112
  • Isnin, 27 Nov 2023

Akibat kemalangan tersebut, kereta dinaiki keluarga terbabit remuk di bahagian tempat duduk penumpang hadapan selepas melanggar tembok sebuah rumah. — Orang Awam

SEORANG wanita maut selepas kenderaan dinaikinya bersama suami dan seorang anaknya terbabas sebelum melanggar pagar sebuah rumah dalam insiden kemalangan di Machang, Kelantan pada Isnin.

Dalam insiden yang dipercayai berlaku sekitar pukul 4 petang Isnin itu, suami mangsa dilaporkan mengalami kecederaan patah paha manakala anaknya berusia lapan bulan turut terselamat.

Beberapa gambar di lokasi kemalangan yang dikongsikan orang awam menunjukkan kereta dinaiki keluarga terbabit remuk di bahagian tempat duduk penumpang hadapan selepas melanggar tembok sebuah rumah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Machang, Supritendan Mohd Adli Mat Daud mengesahkan kejadian terbabit.

Katanya, ketika kejadian, mangsa berusia 21 tahun bersama suami, 20, dan bayi lelakinya berusia lapan bulan dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Mengketil menghala ke Machang.

"Apabila sampai di tempat kejadian, kereta jenis Perodua Kancil yang dipandu mangsa hilang kawalan, lalu terbabas ke sebelah jalan arah bertentangan dan melanggar pagar simen di tepi jalan.

"Mangsa tercampak di bahagian penumpang belakang, manakala suami dan anak tersepit di bahagian tengah di antara pemandu dengan penumpang sebelah kiri," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mohd Adli berkata ketiga-tiga mangsa berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba dan penyelamat.

"Wanita terbabit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala suami dan anaknya mengalami kecederaan parah dan dibawa ke Hospital Machang bagi mendapatkan rawatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram