[VIDEO] Nahas 3 hari berturut-turut, budak dan warga emas tercampak dirempuh ketika lintas jalan


  • Benua
  • Khamis, 23 Nov 2023

Tangkap layar kemalangan membabitkan dua beranak yang dirempuh sebuah kenderaan di persimpangan jalan Woodlands, Singapura.

DUA insiden kemalangan dilaporkan berlaku dalam tempoh tiga hari berturut-turut membabitkan tiga individu dan kenderaan di sebuah jalan raya dekat persimpangan Woodlands, Singapura baru-baru ini.

Kes pertama pada Isnin berlaku apabila dua beranak iaitu seorang wanita dan budak perempuan tercampak akibat dirempuh sebuah kereta ketika melintas jalan raya.

Rakaman kamera dashcam memaparkan kedua-dua mangsa dirempuh kereta jenis Toyota Lexus ketika ingin menyeberang ke laluan bertentangan.

Akibat pelanggaran itu, mangsa kanak-kanak dipercayai berusia antara lapan ke sembilan tahun cedera parah di kepala manakala ibunya turut mengalami pendarahan ketika kejadian.

Saksi kejadian menjelaskan bahawa kanak-kanak yang mengenakan uniform sekolah itu meronta kesakitan akibat kemalangan terbabit.

Menurut Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), kedua-dua mangsa telah dihantar ke Hospital Khoo Teck Puat dan berjaya diselamatkan meskipun mengalami kecederaan parah.

Selang dua hari kemudian, satu lagi kes kemalangan dilaporkan berlaku melibatkan seorang wanita warga emas yang dirempuh sebuah kereta di lokasi sama.

Screenshot 2023-11-23 001439

Kemalangan membabitkan seorang wanita warga emas yang dirempuh kereta ketika melintas. Agensi

Kejadian yang berlaku sekitar pukul 11 pagi itu terjadi apabila mangsa berusia 70 tahun dikatakan dilanggar sebuah kenderaan yang membelok laju di laluan berkenaan.

Tersentak dengan pelanggaran itu, pemandu yang juga warga emas berumur 60 tahun pantas turun untuk melihat keadaan mangsa dan segera memohon maaf atas kesalahannya.

Mangsa dilaporkan selamat dan kini sedang menerima rawatan di hospital. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram