[VIDEO] Angkara pemandu bebal, orang awam 'berganding bahu' alih Bezza halang laluan bas di KL


  • Tular
  • Khamis, 23 Nov 2023

Tangkap layar sekumpulan lelaki mengalihkan sebuah kenderaan yang meletakkan kenderaan di sebuah selekoh bagi bagi memberi laluan kepada Bas Rapid KL di Kuala Lumpur baru-baru ini. — Facebook

PENTINGKAN diri sendiri dan sikap mengambil mudah, itulah perlakuan segelintir pemandu yang tidak bertanggungjawab apabila mereka dengan selamba meletakkan kenderaan di lokasi tidak dibenarkan di ibu negara sehingga menimbulkan masalah kepada orang lain.

Perbuatan itu bukan sahaja mengundang kesesakan lalu lintas berikutan jalan menjadi sempit, malah boleh berlaku kemalangan apabila kenderaan melalui jalan berkenaan bergesel disebabkan terlalu rapat.

Terbaharu, tular satu video pada Khamis memaparkan sekumpulan orang awam terpaksa mengangkat sebuah kenderaan jenis Perodua Bezza yang meletakkan kenderaan sesuka hati di sebuah bahu jalan di Kuala Lumpur seperti mana dikongsikan di laman Telegram Info Kemalangan.

Dalam video berdurasi lebih seminit itu, kelihatan sebuah bas Rapid KL tidak dapat melalui jalan tersebut ekoran daripada laluan yang terlalu sempit.

Lebih menggeramkan lagi, menurut sumber yang berkongsi video tersebut mendakwa pemilik kenderaan berkenaan juga tidak muncul-muncul walaupun beberapa orang awam cuba mencarinya.

Pada masa sama, tindakan sekumpulan lelaki yang cuba mengalihkan kenderaan tersebut bagi memberi laluan kepada bas turut menerima pujian warga maya.

"Terima kasih orang baik. Nasib ada orang awam yang tolong alihkan, kalau tidak mesti sesak jalan sampai ke malam," kata Azri.

Selepas cuba dialihkan, Perodua Bezza itu akhirnya ditunda pihak berkuasa bagi mengelak jalan menjadi lebih sesak.

Untuk makluman, mana-mana individu yang gagal mematuhi peraturan parkir boleh dikenakan tindakan saman di bawah Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 atau di bawah Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) mengikut bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang berkenaan.

Belum ada kenyataan Rapid KL berhubung insiden itu setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram