Tak lepas potong van, pasangan kembar maut kemalangan ke tempat kerja di Jeram


  • 112
  • Rabu, 22 Nov 2023

Pasangan kembar maut selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Rezab Derahman, Selangor pada Selasa.  — Ihsan Polis

SEPASANG kembar lelaki berusia 18 tahun maut dalam kemalangan di Jalan Rezab Derahman, Jeram, Shah Alam, Selangor ketika dalam perjalanan ke tempat kerja pada Selasa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Mohd Ambia Nordin berkata, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 11.50 pagi itu mengakibatkan kedua-dua pemuda itu cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut beliau, kejadian berlaku apabila motosikal jenis Yamaha 16 dinaiki mangsa cuba memotong van di hadapan laluannya.

"Bagaimanapun, van tersebut membelok ke kanan menyebabkan motosikal terbabit terlanggar bucu depan sebelah kanan van berkenaan hingga menyebabkan hilang kawalan dan terjatuh.

"Akibat daripada kemalangan tersebut, penunggang dan pembonceng mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, pasangan kembar itu menetap di Jeram dan bekerja sebagai penghantar barang sebuah syarikat kurier di Puncak Alam, Kuala Selangor, Selangor.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tanjong Karang, Selangor bagi proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram