SEORANG bayi perempuan berusia tujuh bulan maut selepas kereta yang dinaiki bersama ibu bapanya terbakar selepas melanggar tiang lampu di hadapan sebuah bank di Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Kelantan awal pagi Isnin.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Mohd Fadzil Musa berkata, mangsa, Wan Sabeena Arisha Wan Shahrizat ditemukan rentung berhampiran kenderaan itu, manakala pemandu yang juga bapa bayi berkenaan, Wan Shahrizat Azwan Wan Shahril, 28, cedera parah akibat melecur seluruh tubuh.
"Pihak bomba terima panggilan kecemasan mengenai kemalangan jalan raya di lokasi berkenaan pada pukul 4.04 pagi membabitkan sebuah kereta Honda Jazz yang terbabas dan melanggar tiang lampu sebelum kenderaan dinaiki tiga beranak itu terbakar.
"Mayat bayi berkenaan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya manakala bapa dan ibu mangsa, Nur Hasidah Razmi, 25, yang cedera ringan diserahkan kepada pihak hospital untuk rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Berdasarkan rakaman video yang tular di media sosial sejak Isnin, kedengaran jeritan Nur Hasidah Razmi yang menyaksikan kejadian menimpa suami dan bayinya depan mata.
Belum ada kenyataan pihak berkuasa berhubung insiden menyayat hati itu setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram