SEORANG lelaki mengalami kecederaan parah selepas dipercayai ditembak dengan sepucuk senapang oleh seorang individu tidak dikenali di Bakong, Marudi dekat Miri, Sarawak pada Sabtu.
Kes itu juga berjaya dirakam kamera litar televisyen (CCTV) di kawasan berhampiran dan video tersebut mula tular di laman Facebook pada hari kejadian.
Melalui video yang dimuat naik di Facebook Miri Community, mangsa terdahulu dilihat berada di dalam sebuah kereta trak pikap berwarna hitam.
Ketika mangsa keluar daripada kenderaan tersebut, muncul seorang lelaki dari arah belakang dan terus melepaskan dua das tembakan ke arahnya.
Suspek kemudiannya terus melarikan diri bersama sebuah beg berwarna hitam.
Difahamkan, mangsa mengalami kecederaan serius di kaki kiri dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Miri.
Melalui maklumat awal yang dikongsikan warga maya, Alex Sandin, dia mendakwa mangsa membawa sejumlah duit yang banyak untuk membayar hasil jualan sawit penduduk setempat.
"Kes rompak ini, dia simpan duit dalam beg dan mungkin ada yang tahu. Sekarang ini kes tembak makin menjadi-jadi," tulisnya.
Difahamkan, satu laporan polis telah diterima dan pihak polis sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kes itu.
Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh pihak berkuasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram