SEORANG lelaki yang bekerja sebagai penghantar makanan hanya mampu menangis selepas motosikalnya dicuri oleh individu yang tidak dikenali selepas menunaikan solat Isyak di Indonesia baru-baru ini.
Melalui video tular yang dikongsikan @khairulazizi75 di laman media sosial X (Twitter) pada Jumaat memaparkan lelaki berkenaan menangis teresak-esak selepas bernasib malang gara-gara insiden itu.
Difahamkan kejadian malang itu berlaku di Bogor Barat, Kota Bogor, Indonesia.
Memetik laporan media antarabangsa, detiknews.com, mangsa yang dikenali sebagai Soleh Darmawan, 52, tidak dapat menahan sebak apabila kehilangan motosikalnya itu kerana kenderaan beroda dua itu merupakan satu-satunya motosikal yang digunakan untuk mencari rezeki.
"Allahuakbar...," kata Soleh sambil menangis dan memegang kepalanya.
Menceritakan kembali kronologi kehilangan motosikal tersebut kepada wartawan, Soleh berkata, dia kehilangan motosikal tersebut pada Rabu.
"Pada waktu kejadian, saya sedang menunaikan solat Isyak di Masjid Alhadi.
"Motosikal saya tinggalkan di hadapan perkarangan masjid dan dikunci seperti biasa.
"Waktu kejadian juga hujan, jadi saya menumpang teduh seketika dan solat Isyak di sana," katanya.
Tambahnya lagi, ketika solat, dia terdengar bunyi motosikal seakan-akan bunyi motosikal miliknya namun tidak mengesyaki apa-apa.
"Saya dengar macam bunyi motosikal saya namun mengabaikannya sebab ingatkan ada orang lain ingin solat bersama.
"Selesai solat saya menuju ke tempat motosikal ditinggalkan, namun hanya menemui topi keledar," katanya yang masih bersedih dengan keadaan tersebut. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram