SEORANG kanak-kanak lelaki maut dibaham buaya ketika sedang mencari siput dalam kejadian di Sungai Arut, Pangkalan Bun, Kalimantan Tengah, Indonesia pada Sabtu.
Menurut saksi, pada waktu kejadian kanak-kanak malang itu sedang bermandi-manda sambil mencari siput selepas pulang dari sekolah bersama dua rakannya yang lain sebelum disambar buaya.
"Mangsa sedang mandi bersama kawan selepas pulang dari sekolah.
"Ketika mandi, tiba-tiba ada gelembung dari dalam air dan dia (mangsa) tidak menyedari kehadiran buaya itu," kata saksi ketika menceritakan semula kejadian tersebut kepada pemberita DayakNews.Com.
Tambah saksi yang tidak didedahkan namanya itu, selepas mengetahui kejadian tersebut penduduk kampung terus memburu reptilia ganas terbabit.
Difahamkan buaya tersebut dapat ditangkap serta dibunuh beberapa jam selepas kejadian ngeri tersebut oleh penduduk kampung dan beberapa orang pawang buaya.
Penduduk kampung seterusnya membelah perutnya namun mendapati mangsa tidak berada dalam perut haiwan itu.
Usaha mengesan mangsa diteruskan oleh Pasukan Penyelamat Indonesia (Basarnas) pada hari yang sama.
Sementara itu Koordinator Basarnas Pangkalan Bun dan Koordinator Lapangan Tim SAR Gabungan, Heru berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada penduduk kampung pada pukul 11.40 pagi Sabtu.
"Beberapa anggota telah dikerahkan ke lokasi kejadian. Usaha untuk mencari mangsa kini sedang giat diusahakan," katanya pada Ahad.
Setakat berita ini ditulis, mayat kanak-kanak malang itu masih belum ditemui. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram