[VIDEO] Penunggang motor tercampak gara-gara elak Ativa parkir tepi selekoh


  • Tular
  • Isnin, 27 Nov 2023

Tangkap layar seorang penunggang motosikal tercampak selepas bertembung dengan kenderaan lain yang diletakkan di selekoh jalan pada Ahad.

SEORANG penunggang motosikal tercampak akibat bertembung dengan kenderaan lain selepas cuba mengelak sebuah kereta jenis Perodua Ativa yang diletakkan di selekoh sebuah jalan pada Ahad.

Kejadian itu turut dirakam kamera papan pemuka (dashcam) kenderaan yang dirempuh mangsa.

Video tersebut kemudiannya dimuat naik oleh Auss Zeinn di laman Facebook Dashcam Owner Malaysia pada hari yang sama. Namun, tidak dinyatakan lokasi sebenar kejadian itu berlaku.

"Nasib baik ada dashcam sebagai bukti," tulisnya.

Dalam kejadian pada pukul 1.51 petang itu, kelihatan penunggang motosikal berkenaan tidak dapat mengelak kenderaan tersebut dan terus melanggar bahagian kanan kereta itu.

Turut kedengaran suara pemilik kenderaan berkenaan menegur penunggang motosikal itu yang menunggang secara berbahaya.

"Laju sangat bang, laju," katanya.

Selain itu, menurut info tambahan yang dikongsikan, penunggang motosikal itu tidak mempunyai lesen.

Video tersebut turut menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan warga maya.

"Ativa parkir di selekoh itu memang salah dan motosikal pula terlalu laju dalam kawasan seperti ini.

"Sepatutnya penunggang motor perlahankan motosikal kalau nampak selekoh," kata Md Syakir Abdullah.

Sementara itu, Syafiq Izra pula memuji tindakan pemilik kenderaan yang dilanggar kerana tidak memarahi penunggang motosikal tersebut.

"Aku tertarik dengan pemilik kenderaan ini bercakap, kereta dah kena langgar dan dia boleh sembang macam biasa. Kalau ikutkan Ativa itu yang salah tapi penunggang itu pula tak ada lesen dan laju," katanya.

Setakat berita ini ditulis, tidak dapat dipastikan kecederaan yang dialami penunggang motosikal tersebut dan belum ada sebarang kenyataan daripada pihak berkuasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram