[VIDEO] Doa ibu makbul, mayat budak jatuh longkang di Melaka akhirnya timbul


  • Tular
  • Ahad, 26 Nov 2023

Nor Amiza Che Kar menunjukkan gambar anaknya, Muhammad Danish yang dipercayai hilang terjatuh dalam longkang di Jalan Bukit Baru, Bukit Palah, Melaka pada Sabtu. — Bernama

KANAK-KANAK lelaki berumur dua tahun yang hilang dikhuatiri lemas pada Sabtu di Jalan Bukit Baru, Bukit Palah, Melaka ditemui pada Ahad.

Mangsa, Muhammad Danish Mohd Faizal disyaki terjatuh dalam longkang sedalam satu meter di sebuah parit berdekatan kawasan kejadian pada pukul 3.30 petang Sabtu.

Pegawai Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Penguasa Bomba Zulkhairani Ramli berkata, mangsa yang hilang sejak Sabtu selepas dipercayai terjatuh ke dalam longkang di Taman Goodwood, ditemukan lemas pada 9.30 pagi Ahad.

Mayatnya ditemukan dalam keadaan terapung kira-kira 1.3 kilometer dari lokasi asal oleh seorang lelaki yang memaklumkan perkara itu kepada Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Melaka.

BACA LAGI : Budak 2 tahun hilang dipercayai hanyut lepas jatuh longkang di Melaka

"Orang awam ada bagi maklumat kepada kami ada satu objek timbul di kawasan Taman Desa Baru, jadi kami hantar anggota ke lokasi dan membuat pemeriksaan dan mendapati objek tersebut adalah mayat kanak-kanak tersebut dan dalam keadaan sempurna.

"Kita keluarkan dan angkat ke kawasan lebih sesuai untuk melakukan identifikasi dan masa yang sama kita hubungi hospital dan polis. Selepas itu, mayat dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.

Terdahulu, Majoriti melaporkan seorang kanak-kanak lelaki hilang dipercayai hanyut selepas jatuh ke dalam longkang sedalam satu meter di Melaka.

Mangsa ketika itu sedang bermain dengan abangnya berdekatan longkang yang dipenuhi air berikutan hujan lebat sejak tengah hari.

Ketika kejadian, hanya selipar mangsa sahaja kelihatan di kawasan berumput berdekatan dan keluarganya memaklumkan perkara itu kepada pihak berkuasa setelah mencarinya selama 20 minit.

Mohd Faizal Maarop yang merupakan bapa kepada mangsa dikatakan menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan selepas menyedari perkara itu.

Ibunya pula, Nor Amiza Che Kar berkata, dia dan suami turut mencari anak mereka di longkang di hadapan gerainya, selepas terpandang selipar Muhammad Danish di atas rumput berhampiran.

"Jika betul anak saya lemas, semoga jasadnya timbul, jika diambil orang, tolonglah pulangkan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram