[VIDEO] Tentera Houthi Yaman siar rakaman rampas kapal kargo milik penjajah


  • Benua
  • Selasa, 21 Nov 2023

Tangkap layar serangan tentera Houthi Yaman terhadap kapal milik Israel di Laut Merah pada Ahad.

TENTERA Houthi, Yaman merampas sebuah kapal kargo dipercayai milik Israel di Laut Merah dan menjadikan seramai 25 anak kapal itu sebagai tebusan pada Ahad.

Houthi yang disokong kuat oleh Iran difahamkan akan terus menyasarkan kapal di perairan antarabangsa yang dimiliki zionis Israel sehingga konflik serangan di Gaza tamat.

"Semua kapal milik Israel atau mana-mana pihak yang berurusan dengannya akan menjadi sasaran kami," kata tentera Houthi.

Ketua perunding dan jurucakap Houthi, Mohammed Abdul-Salam berkata, Israel hanya akan tunduk kepada bahasa dan tindakan keras.

"Penahanan kapal Israel adalah langkah praktikal yang membuktikan kesungguhan angkatan tentera Yaman dalam melancarkan pertempuran laut, tanpa mengira kos dan ini adalah permulaan,” tambahnya.

Susulan itu, Pejabat Perdana Menteri Israel diwakili Benjamin Netanyahu mengesahkan perkara tersebut dan meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada askar Houthi atas serangan dilakukan terhadap kapal 'Galaxy Leader'.

Pegawai Israel menegaskan, kapal itu adalah milik British dan dikendalikan oleh Jepun.

Walau bagaimanapun, butiran pemilikan dalam pangkalan data perkapalan awam mengaitkan pemilik kapal dengan 'Ray Car Carriers' diasaskan oleh Abraham Rami Ungar, yang dikenali sebagai salah seorang lelaki terkaya di Israel.

Dua pegawai pertahanan Amerika Syarikat, mengesahkan bahawa pemberontak Houthi telah menahan 'Galaxy Leader' di Laut Merah pada petang Ahad.

Untuk rekod, sejak 2019, beberapa buah kapal telah diserang di laut ketika Iran mula melanggar semua perjanjian nuklearnya dengan kuasa dunia.

Ketika Israel meluaskan serangan jajahannya terhadap Hamas di Semenanjung Gaza, operasi ketenteraan dikhuatiri boleh meningkat kepada konflik serantau yang lebih luas.

Malah, tentera Houthi juga difahamkan telah berulang kali mengancam untuk menyasarkan kapal-kapal Israel di perairan Yaman sebelum ini. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram