[VIDEO] Konsert Coldplay di Bukit Jalil batal atau tidak: PM Anwar bincang dengan Mufti WP


  • Primer
  • Selasa, 21 Nov 2023

Kumpulan muzik antarabangsa, Coldplay dijadual melangsungkan konsertnya di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Rabu.

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan perbincangan dengan Mufti Wilayah Persekutuan berhubung keperluan untuk meneruskan penganjuran konsert kumpulan Coldplay yang dijadual berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Rabu.

Beliau berkata, hal ini memandangkan, ada pelobi daripada gerakan penyokong pejuang Palestin yang menyokong penganjuran konsert berkenaan dan pada masa yang sama terdapat pihak lain yang menyarankan agar konsert itu dibatalkan.

"Coldplay ini antara kumpulan yang sokong Palestin, jadi ada masalah sikit saya nak beritahu, dalam kerajaan yang lepas telah luluskan juga. Saya akan bincang dengan mufti berhubung keadaan ini.

"Kerana ada pelobi daripada gerakan Palestin yang menyokong dan berikan pandangan kepada Menteri Luar dan pejabat saya menyatakan kenapa dihalang kumpulan yang sokong perjuangan Palestin daripada meneruskan pertunjukan," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) berhubung pendirian kerajaan dalam penganjuran konsert berkenaan, memandangkan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah meminta supaya penganjuran konsert itu tidak diteruskan kerana disifatkan sebagai melalaikan.

Sebelum ini, terdapat beberapa pihak yang turut menyarankan agar konsert berkenaan dibatalkan bagi menghormati situasi semasa yang berlaku di Gaza Palestin, selain bimbang insiden tidak senonoh dilakukan kumpulan pop rock dikenali sebagai The 1975 pada Julai lepas berulang.

Kumpulan muzik ternama dari United Kingdom itu dijadual mengadakan konsert di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Rabu bersempena dengan siri jelajah Music of the Spheres World Tour. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram