[VIDEO] Tiga tahun tinggal dalam stor, guru besar kongsi perkembangan terkini, bantuan kuarters sudah diterima


  • Massa
  • Selasa, 21 Nov 2023

Tangkap layar video dimuat naik George Odol yang berkongsi perkembangan terkini berhubung isu penempatan kuarters guru di SK Ulu Ansuan, Telupid, Kota Kinabalu, Sabah.

GURU Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Ansuan, Telupid, Kota Kinabalu, Sabah, George Odol yang sebelum ini mendakwa terpaksa tinggal di stor prasekolah berkongsi perkembangan terkini berhubung hal itu di laman Facebook pada Isnin.

Menerusi sebuah video berdurasi dua minit 21 saat yang dimuat naik, dia menjelaskan bahawa beberapa rumah guru yang dinaik taraf, kini sudah mula didiami warga pendidik di sekolah berkenaan.

Jelasnya, rakaman tular sebelum ini merupakan situasi dan pengalaman getir yang dihadapi sebelum rumah guru itu diperbaiki.

"Saya ingin mengulas mengenai video yang saya muat naik minggu lalu mengenai isu rumah guru di sekolah ini terutama guru besar yang tinggal di stor prasekolah.

"Untuk makluman, kenyataan saya itu tidak membabitkan dua bulan terakhir perkhidmatan saya di sekolah ini. Saya mula datang melapor diri untuk bertugas sebagai pentadbir di pada Jun 2020 dan akan menamatkan perkhidmatan saya di sini pada 27 November 2023, lagi beberapa hari.

"Jadi, dalam menangani isu rumah guru di SK Ulu Ansuan, Kementerian Pendidikan sudah mengambil langkah iaitu rancangan jangka pendek dan rancangan jangka panjang.

"Dalam rancangan jangka pendek, Kementerian Pendidikan memperuntukkan sebanyak RM200,000 untuk menyelenggarakan rumah guru sedia ada di sekolah ini sebanyak tujuh unit dan siap sepenuhnya pada hari ini (Isnin) dan sudah mula dihuni oleh guru di sekolah ini," katanya.

Difahamkan, bangunan asal berbentuk rumah panjang yang dijadikan rumah guru itu pada mulanya dibina oleh guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta masyarakat setempat kerana tiada penempatan guru dibina di sekolah terbabit sejak ia dibuka pada 2000.

Menerusi video yang sama, George turut mengulas pengumuman yang dibuat Kementerian Pendidikan beberapa hari lalu mengenai rancangan jangka panjang untuk menaik taraf sekolah luar bandar berkenaan.

"Rancangan jangka panjang pula, Kementerian Pendidikan memperuntukkan RM12.5 juta untuk membina empat lagi rumah guru di sekolah ini.

"Jadi, dengan dua tindakan drastik yang diambil Kementerian Pendidikan melalui rancangan jangka pendek dan panjang, ini bererti isu rumah guru di SK Ulu Ansuan ini akan berakhir dalam masa yang terdekat ini," katanya.

Terdahulu, perkongsian George di laman TikTok peribadinya yang terpaksa menetap di dalam stor mendapat perhatian warganet dan Kementerian Pendidikan turut mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung tindakan yang sudah diambil bagi menangani masalah terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram