SEORANG wanita berdepan detik cemas apabila dihanyutkan ombak besar ketika bergambar di tebing pantai dekat Amerika Syarikat baru-baru ini.
Kejadian itu berlaku ketika individu terbabit sedang sakan bergaya untuk mendapatkan gambar yang menarik di kawasan ombak besar tersebut.
Namun, situasi berubah apabila dia didatangi ombak kuat yang sekali gus menyebabkan wanita berkenaan hilang imbangan dan terjatuh ke dalam lautan.
Kejadian itu yang pada mulanya disangka jenaka, bertukar serius apabila wanita yang berpakaian gaun biru itu tidak kelihatan selepas hilang dan gagal dikesan jurufoto dipercayai suaminya.
Situasi itu nyata mengundang kerisauan lelaki tersebut yang kemudiannya berusaha untuk mencari mangsa di sekeliling kawasan tebing tersebut.
Rata-rata netizen mengecam tindakan mangsa yang dikatakan tidak peka dengan keselamatan diri sendiri.
"Kenapa perlu bergambar di kawasan berbahaya, demi gambar cantik sanggup korbankan diri untuk perkara yang tidak penting," kata George Max.
"Ombak besar tak dapat dijangka, bila-bila masa sahaja boleh datang dan sepatutnya dia bergambar di kawasan yang lebih selamat di persisiran pantai," ujar Andrew Hans.
"Orang sanggup bergadai nyawa demi gambar yang cantik dan ada kalanya ini yang berlaku, harap mangsa berjaya diselamatkan," tambah uccio82262555.
"Kita boleh mati dengan sangat mudah sekiranya berada dalam situasi seperti itu, jangan sesekali memandang rendah akan bencana semula jadi, harap wanita itu selamat," jelas Kahima Yasuo.
Perkongsian di ruangan komen memperlihatkan mangsa berjaya berpaut pada batu besar di kawasan tersebut namun tidak dapat dipastikan kecederaan dialaminya setakat ini.
Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati ketika berada di kawasan pantai dan elakkan daripada bermain di kawasan berbahaya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram