[VIDEO] Leka serkap ikan sambil ikut belakang jentera pembajak punca budak OKU maut kena ‘putaq’ di Jitra


  • 112
  • Sabtu, 18 Nov 2023

Tangkap layar seorang kanak-kanak lelaki OKU maut akibat terkena bilah jentera pembajak di Sungai Korok, Jitra, Kedah pada Jumaat.

KANAK-KANAK lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU) yang maut akibat terkena bilah jentera pembajak di Sungai Korok, Jitra, Kedah pada Jumaat dipercayai berpunca selepas mangsa mengekori jentera terbabit sambil menangkap ikan menggunakan serkap dan kayu.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan dilaporkan berkata, kanak-kanak terbabit meninggal dunia akibat terkena bilah traktor pembajak tanah di kawasan bendang di Kampung Kepala 10, Telaga Batu di Jitra.

"Sebelum kejadian, mangsa bersama rakan sebayanya dipercayai sedang mengekori rapat traktor pembajak pada pukul 5.30 petang untuk menangkap ikan menggunakan serkap dan kayu.

"Mangsa dipercayai berada di belakang traktor manakala dua rakannya berada di depan.

"Pemandu jentera pembajak itu dikatakan sudah menegur mereka supaya menjauhi jentera terbabit tetapi tidak dihiraukan dan kira-kira 10 minit kemudian, pemandu terbabit melihat ke belakang dan mendapati kanak-kanak itu tiada lalu memberhentikan jentera itu serta mengangkat bilah ke atas," katanya.

Tambahnya, hasil siasatan mendapati, mangsa dipercayai pergi ke kawasan bendang itu dengan menunggang basikal bersama dua rakannya dan terus turun ke dalam sawah untuk mengekori jentera berkenaan.

Situasi itu walau bagaimanapun disedari seorang pemandu jentera berusia 46 tahun yang ternampak kanak-kanak terbabit tidak sedarkan diri dan mengalami kecederaan di kepala.

"Pemeriksaan luaran pada badan mayat mangsa mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan mayat kanak-kanak itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, Kedah untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram