Operator kren maut dalam kabin pada ketinggian 20 meter di KLCC


  • 112
  • Khamis, 16 Nov 2023

Seorang operator kren ditemui mati dalam sebuah kabin pada ketinggian 20 meter di persiaran KLCC, Kuala Lumpur. — Bernama

SEORANG operator kren menara disahkan meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam kabin di ketinggian kira-kira 20 meter di tapak pembinaan di Persiaran KLCC, Kuala Lumpur pada Khamis.

Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Mior Muhammad Fikri Mohd Zaini berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.43 petang dan satu jentera dengan kekuatan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Tun Razak dikejarkan ke lokasi.

Menurutnya, mangsa berumur 27 tahun itu berjaya dibawa turun pada pukul 7.46 malam dengan menggunakan bantuan menara kren bersebelahan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Pemeriksaan pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, mayat lelaki warga tempatan itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram