[VIDEO] Ambil bola dalam bilik TNB, budak 12 tahun melecur satu badan terkena renjatan elektrik di Bayan Lepas


  • 112
  • Khamis, 16 Nov 2023

Seorang kanak-kanak lelaki mengalami lecuran teruk akibat terkena renjatan elektrik dalam bilik jana kuasa TNB di Taman Seri Bayu, Bayan Lepas, George Town, Pulau Pinang. — Facebook

SEORANG kanak-kanak lelaki melecur keseluruhan badan selepas terkena renjatan elektrik akibat tersentuh perkakasan elektrik di dalam bilik jana kuasa Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Taman Seri Bayu, Bayan Lepas, George Town, Pulau Pinang pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.50 petang itu, mangsa Mohd Dawisy Zarif Mohd Khairi, 12, dikatakan bermain bola sepak bersama rakan-rakannya sebelum bola termasuk ke dalam kawasan bilik jana kuasa TNB itu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, berdasarkan maklumat awal, kanak-kanak itu masuk ke kawasan bilik jana kuasa tersebut untuk mengambil bola dan dikatakan terjatuh sebelum terkena renjatan elektrik.

"Dia telah dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut," katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Hirman Mat Rodzi berkata, jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru telah dihantar ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 4.55 petang.

"Apabila pihak bomba tiba, mendapati seorang kanak-kanak melecur keseluruhan badan akibat tersentuh perkakasan elektrik di dalam bilik jana kuasa elektrik TNB.

"Mangsa telah dibawa oleh pihak perubatan untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi.

Mohamad Hirman berkata, pihaknya membuat penilaian situasi bagi memastikan tiada lagi keberbahayaan di kawasan itu sebelum menyerahkan kepada pihak TNB untuk tindakan selanjutnya.

Menurutnya, operasi yang melibatkan 10 pegawai dan anggota bomba itu tamat pada pukul 5.43 petang. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram