[VIDEO] Anak disyaki jadi dalang ibu, kekasih maut kena tembak dalam bas


  • Benua
  • Sabtu, 18 Nov 2023

Tangkap layar dua suspek lelaki melepaskan tembakan ke arah penumpang bas di Nueva Ecija, Filipina.

DUA individu dipercayai pasangan kekasih ditembak mati dalam satu insiden tembakan yang berlaku dalam sebuah bas di Nueva Ecija, Filipina pada Khamis.

Siasatan polis mendapati bahawa, ia berkemungkinan berpunca akibat pertikaian keluarga yang mengakibatkan si pelaku melepaskan tembakan secara tiba-tiba ketika kejadian.

Mangsa merupakan seorang ahli perniagaan wanita berusia 60 tahun dari Cauayan City, Filipina dan seorang lelaki berusia 55 tahun dari Koronadal, South Cotabato, Filipina.

Pasangan kekasih itu terdahulu sedang menaiki bas menuju ke Manila sebelum ditembak mati ketika kenderaan terbabit melalui Nueva Ecija.

Jurucakap Polis Filipina menjelaskan, anak lelaki mangsa menafikan sebarang penglibatan dalam kes tersebut.

Meskipun demikian, dia menjadi antara suspek dalam kes tersebut berikutan ibunya memfailkan laporan polis terhadapnya selepas mereka terlibat dalam pergaduhan baru-baru ini.

"Dalam laporan itu, mangsa mendakwa anaknya mengambil kereta mengakibatkan wanita itu berasa tidak puas hati dan membuat aduan kepada polis," katanya.

Bagaimanapun, polis masih belum menemu bual anak lelakinya dan penyerang juga masih belum dikenal pasti setakat ini.

Difahamkan, polis akan menyiasat bukti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dalam bas tersebut yang jelas memaparkan situasi kejadian.

Ketua Polis Sarjan Vincent Castañeda dari Carranglan pada Khamis berkata, mangsa kelihatan sedang tidur sebelum ditembak sebanyak enam kali di kepala dan leher oleh penyerang lelaki tersebut.

Beliau berkata, mangsa menaiki bas di terminal di Bandar Cauayan, Isabela, manakala dua lelaki bersenjata itu menaiki bas di Bayombong, Nueva Vizcaya.

Kedua-dua suspek meminta pemandu memberhentikan kenderaan dan semasa sedang turun dari bas, salah seorang daripada mereka mengeluarkan pistol dan menembak mangsa.

Untuk rekod, mereka berempat merupakan penumpang bas tersebut pada hari kejadian.

Lembaga Francais dan Kawal Selia Pengangkutan Darat sedang menjalankan siasatan terhadap kes itu termasuk syarikat pengangkutan bas tersebut iaitu Victory Liner. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram