[VIDEO] ‘Saya sihat’, Siti Bainun makin ‘slim’, hilang 60kg lepas 6 bulan meringkuk di Penjara Kajang


Siti Bainun Ahd Razali ketika hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa. — Bernama

PENDENGARAN rayuan Siti Bainun Ahd Razali di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap sabitan dan hukuman penjara 12 tahun bagi kesalahan mengabai serta menganiaya seorang remaja perempuan 'sindrom Down' dikenali sebagai Bella, ditangguhkan ke 30 Januari 2024.

Hakim Datuk Noorin Badaruddin menetapkan tarikh itu selepas peguam Haijan Omar mewakili Siti Bainun, pengasas Rumah Bonda, memohon penangguhan berikutan nota keterangan saksi pembelaan kelapan belum lengkap.

"Pihak kami mohon pendengaran hari ini ditangguhkan dan mohon satu tarikh lain bagi pengurusan kes seterusnya," kata peguam itu.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad tidak membantah perkara itu.

Hakim Noorin juga menetapkan 7 Disember ini untuk pengurusan kes.

Ketika ditanya media selepas prosiding, sama ada dia sihat, Siti Bainun yang memakai jubah berwarna merah jambu dan dilihat semakin susut berbanding sebelum ini, dengan ringkas menjawab; "saya sihat”.

Pada 23 Mei lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Siti Bainun agar pelaksanaan hukuman penjara terhadapnya ditangguhkan selepas mendapati tiada keadaan khas atau luar biasa untuk berbuat demikian.

Siti Bainun, 31, diarah menjalani hukuman penjara serta-merta selepas Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi, pada 3 Mei lepas, menolak permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman.

Dia dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman itu.

Siti Bainun, yang didapati bersalah melakukan perbuatan itu ke atas Bella, 13, di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021, turut diperintah menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin berserta cagaran RM5,000.

Wanita itu juga diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.

Berdasarkan laporan media, berat badan Siti Bainun difahamkan mencecah 150 kilogram ketika dipenjarakan pada 3 Mei lepas, namun kini menyusut kepada 90 kg sahaja.

Ini bermakna, wanita berusia 31 tahun yang menjalani hukuman 12 tahun di Penjara Kajang selepas didapati bersalah mengabai dan menganiaya remaja sindrom Down, Bella mengalami penurunan berat badan sebanyak 60 kg dalam masa enam bulan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram