[VIDEO] Pencuri 'berani mati' sempat pecahkan atap, kena tangkap lepas 2 jam menyorok atas bumbung flat Shah Alam


  • Tular
  • Ahad, 12 Nov 2023

Tangkap layar insiden kecurian membabitkan seorang lelaki yang menyorok atas bumbung kediaman pangsapuri di Shah Alam, Selangor.

TINDAKAN seorang lelaki yang disyaki memecah masuk sebuah kediaman pangsapuri di Shah Alam, Selangor mengundang kekecohan dalam kalangan penduduk setempat apabila pelaku dikatakan enggan menyerah diri selepas dikepung orang ramai.

Kejadian yang berlaku pada awal pagi Sabtu itu terjadi apabila lelaki terbabit ditangkap mencuri barangan peribadi seorang penduduk di kawasan perumahan tersebut.

Kegiatannya bagaimanapun disedari penduduk yang kemudiannya memaksa individu berkenaan melarikan diri dan menyorok di atas bumbung blok pangsapuri itu.

Cubaan meloloskan diri kian meruncing apabila pelaku yang dilihat berbaju dan berseluar hitam dikatakan cuba untuk terjun ke tingkat bawah pangsapuri namun berjaya dikepung penduduk dan anggota polis yang tiba di lokasi kejadian.

Bahkan dia turut dirakam cuba memecahkan atap dalam usaha untuk melarikan diri daripada pihak berkuasa.

Anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia turut kelihatan tiba di lokasi tersebut dan tampil membantu untuk menangkap pencuri terbabit.

Insiden itu berakhir apabila individu terbabit dapat ditangkap menggunakan kren hasil bantuan daripada anggota bomba yang turut sama terlibat dalam kejadian tersebut.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, seramai empat lelaki tempatan dan seorang wanita warga Thailand ditahan selepas disyaki terlibat dalam kejadian berkenaan.

"Kesemua suspek yang berusia lingkungan 24 hingga 37 tahun itu ditahan pada pukul 12.03 tengah malam.

"Semasa serbuan dibuat, suspek cuba melarikan diri dengan memanjat bumbung flat tersebut namun kesemua mereka berjaya di tangkap dengan bantuan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Shah Alam.

"Polis turut merampas pelbagai jenis barangan hasil dari pecah rumah, peralatan pecah rumah dan dadah," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut, Mohd Iqbal berkata, sindiket itu dipercayai aktif sejak awal tahun ini dengan terdapat tiga kes pecah rumah dikaitkan di sekitar Shah Alam.

"Kesemua tangkapan telah direman selama lima hari bermula Sabtu.

"️Kes disiasat di bawah seksyen 457 kanun keseksaan yang membawa hukuman pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai empat belas tahun dan hendaklah dikenakan denda atau sebat," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram