[VIDEO] Akibat berebut harta pusaka, lelaki tergamak bunuh, bakar ibu saudara hidup-hidup


  • Benua
  • Ahad, 12 Nov 2023

Tangkap layar kes pembunuhan kejam membabitkan seorang lelaki yang membakar ibu saudaranya di Bucarest, Romania.

SEORANG lelaki tergamak berkelakuan kejam selepas bertindak membakar ibu saudaranya hingga mati akibat pertikaian dan perebutan harta pusaka keluarga di Bucarest, Romania pada Selasa.

Kejadian berlaku apabila suspek, Alexandru Ionut Popa, 33, terlebih dahulu menyerbu masuk ke kediaman ibu saudaranya dan mengasari mangsa sehingga pengsan.

Meskipun cuba dihentikan oleh seorang wanita dipercayai pembantu rumah mangsa, lelaki terbabit terus bertindak kasar apabila menyimbah minyak petrol ke arah ibu saudaranya.

Sebelum beredar dari kediaman itu, dia sempat menyalakan api yang secara tidak langsung mengakibatkan kebakaran besar berlaku di kediaman tersebut.

Api marak gagal dipadamkan oleh mana-mana pihak dan sekali gus menjadi punca kematian ibu saudaranya.

Insiden itu dirakamkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) dan video berdurasi seminit 27 saat itu tular di laman media.

Hasil siasatan polis mendapati bahawa, Alexandru telah membeli petrol dari stesen minyak berhampiran beberapa jam sebelum melakukan perbuatan itu.

Susulan insiden keganasan itu, Alexandru diarahkan untuk menjalani pemeriksaan psikiatri mandatori untuk mengetahui sama ada dia sedar ataupun tidak semasa melakukan perbuatan tersebut.

Menurut laporan media, ia penting untuk menentukan sama ada dia boleh dipertanggungjawabkan sepenuhnya atas tindakan itu atau pun tidak.

Individu terbabit berdepan dengan tuduhan serius kerana mencetuskan keganasan rumah tangga selain turut melakukan pembunuhan kejam yang dirancang.

Jika sabit kesalahan, pertuduhan terbabit boleh membawa kepada hukuman berat termasuk penjara untuk tempoh masa yang panjang. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram