SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarkan permainan digital mudah alih pendidikan antirasuah ‘Malaysian AntiCorruption Commission Augmented Reality (MACC AR)’.
Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Nazli Rasyid Sulong berkata, permainan digital berkenaan dibangunkan sebagai usaha mendidik dan memelihara sokongan orang ramai terhadap usaha SPRM membanteras rasuah.
"Aplikasi permainan ini juga untuk digunakan sebagai salah satu bahan bantu mengajar di sekolah," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Nazli Rasyid berkata, inisiatif itu adalah cetusan idea Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sebagai usaha mendekati orang ramai serta murid sekolah agar cakna mengenai peranan SPRM dan bahaya rasuah dalam kehidupan.
Beliau berkata, teknologi Augmented Reality atau AR membolehkan kandungan seperti animasi, video dan imej dipaparkan sebagai visual alam sebenar melalui penggunaan peranti pintar memudahkan pemahaman pelajar terhadap mesej antirasuah.
"Teknologi ini adalah salah satu dari tonggak Revolusi Industri 4.0 yang membolehkan kandungan disalurkan kepada pengguna dengan efektif melalui audio dan visual yang menarik," katanya.
Katanya, aplikasi berkenaan boleh dimuat turun menerusi platform GAMMA, Google Play, App Store dan AppGallery secara percuma. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram