[VIDEO] Akibat rusuhan, 15 penyokong, 17 polis cedera dalam aksi Liga Jerman


  • Podium
  • Ahad, 12 Nov 2023

Tangkap layar video penyokong dan polis sedang bergaduh dalam stadium.

SEKURANG-KURANGNYA 15 penyokong dan 17 polis cedera dalam satu rusuhan di kawasan penyokong dalam perlawanan divisyen kedua Liga Jerman di antara FC St. Pauli dan Hannover 96.

Menurut jurucakap polis Hamburg, salah seorang penyokong dan pegawai polis turut dikejarkan ke hospital akibat mengalami kecederaan parah apabila dilaporkan mengalami keretakan tulang pada awal pagi Sabtu.

Menerusi laporan ASB, punca rusuhan yang berlaku di kawasan penyokong pelawat (Hannover 96) itu masih lagi dalam siasatan pihak berkuasa.

Namun ada saksi kejadian mendakwa punca rusuhan tersebut selepas salah seorang penyokong pelawat ditendang oleh pengawal keselamatan sebelum berlakunya rusuhan terbabit.

Disebabkan insiden itu, permainan dihentikan selama lima minit sebelum pengadil perlawanan kembali meniupkan wisel menandakan aksi diteruskan.

Dalam perlawanan itu, pasukan tuan rumah, FC St. Pauli gagal memanfaatkan peluang untuk mengutip tiga mata penuh selepas hanya sekadar terikat seri 0-0 dalam permainan tersebut.

Walaupun gagal mengutip tiga mata penuh, FC St.Pauli masih gah berada di kedudukan teratas Liga Divisyen Kedua Jerman dengan 27 mata.

Manakala, Hannover 96 berada di tempat keempat dan dibezakan satu mata dengan pasukan Holstein Kiel di kedudukan ketiga. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram