[VIDEO] Dua lelaki direman 5 hari, bantu siasatan kes bunuh di luar hotel Kuching


Tangkap layar video memaparkan sekumpulan lelaki memukul seorang individu di luar sebuah hotel di Batu Kawa, Kuching, Sarawak pada 30 Oktober lalu.

DUA lelaki direman selama lima hari bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan seorang individu di luar sebuah hotel di Batu Kawa, Kuching, Sarawak pada 30 Oktober lepas.

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali dilaporkan mengeluarkan perintah reman terhadap kedua-dua suspek berusia 19 dan 28 tahun itu berkuat kuasa pada Rabu mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Kedua-dua suspek ditahan kira-kira pukul 9.15 pagi pada Rabu, dan mereka diwakili oleh peguam Ralph Lee.

Menurut sumber, pada 30 Oktober lalu kira-kira pukul 12.30 tengah malam, mangsa, 51, yang merupakan pekerja di hotel tersebut dipercayai dipukul oleh sekumpulan lelaki di luar premis berkenaan.

Anak perempuan mangsa membawanya ke Hospital Umum Sarawak (HUS) bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan trauma otak yang teruk.

Kes tersebut yang disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, kini diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan sebagai kes bunuh. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram